Berita

Projek ladang solar: Mengapa kerajaan pilih syarikat tiada pengalaman?

KUALA LUMPUR, 17 NOV: Konsortium yang dipilih kerajaan bagi membina loji janakuasa 150MW solar skala utiliti di negara ini didapati tidak mempunyai sebarang pengalaman membina dan mengendali loji solar, malah mungkin melibatkan kepentingan pihak-pihak tertentu.

Menyedari hal itu, Ahli Parlimen Serdang, Dr. Ong Kian Ming meminta Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air (KeTTHA) mendedahkan butiran projek berkenaan, termasuk nilai perjanjian yang ditandatangani serta proses pemilihan konsortium tersebut.

Ia katanya, bagi memastikan projek itu dijalankan secara telus tanpa dipengaruhi oleh kepentingan peribadi mana-mana pihak.

Menurut kenyataan Tenaga Nasional Bhd. (TNB), tiga syarikat di dalam konsortium yang dianugerahkan projek itu adalah Maltech Pro Sdn. Bhd, Cam-Lite Sdn. Bhd dan ItraMAS Technology.

Konsortium itu dipilih secara langsung tanpa tender terbuka oleh KeTTHA.

Dr. Kian Ming menjelaskan, Maltech Pro yang terlibat dengan penjualan komputer tablet 1Malaysia pada tahun 2012, menyenaraikan perniagaannya dalam kategori ‘aplikasi mudah alih, peranti dan peralatan.’ Namun, ia tidak mempunyai laman web rasmi sebagai rujukan.

“Pemegang saham kepada Maltech Pro juga menimbulkan kebimbangan. Sohaimi Shahadan yang memiliki 35 peratus syarikat itu adalah ahli Majlis Tertinggi UMNO.

“Ahmad Zaffy Sulaiman, pemilik 20 peratus syarikat tersebut adalah pemimpin UMNO di Shah Alam.

“Adakah ini salah satu sebab mengapa projek ladang solar 150MW itu dianugerahkan kepada konsortium terbabit?”

Pada masa sama, Cam-Lite Sdn. Bhd. yang juga tidak mempunyai laman web rasmi, memperoleh pendapatan sebanyak RM131,359 pada tahun kewangan terakhir 2012 dengan keuntungan hanya RM1,397.

“Ia dimiliki oleh dua pemegang saham iaitu Zainoor bin Sulaiman (90 peratus) dan Zeliza binti Zainoor (10 peratus). Syarikat itu apabila disemak terlibat dalam perdagangan barangan elektronik,” katanya.

Syarikat ketiga iaitu Itramas pula, jelas Dr. Kian Ming, mempunyai tiga bidang perniagaan iaitu dalam sistem pengangkutan pintar (ITS), keselamatan dan pengawasan serta produk lampu LED.

“Syarikat ini mempunyai laman web. Pendapatannya pada 2014 ialah sebanyak RM44 juta dan memperoleh keuntungan RM413,189. Namun tidak ada rekod menunjukkan ia ada pengalaman dalam membina solar,” ujar Penolong Setiausaha DAP Selangor itu.

“Memandangkan ketiga-tiga syarikat ini tidak ada rekod dalam industri tenaga solar, mengapa mereka dianugerahkan projek tersebut?

“Berapakah nilai perjanjian pembelian tenaga (PPA) yang ditandatangani dengan TNB?” soalnya.

Kian Ming pada Februari lalu pernah menggesa pendedahan nama syarikat-syarikat yang terlibat dalam projek ladang solar 150MW berkenaan.

Ia berikutan tindakan kerajaan memberi hak membina loji 50MW tanpa tender terbuka kepada 1MDB Solar Sdn. Bhd pada Mei 2014 sedangkan syarikat itu tidak mempunyai pengalaman membina dan mengendali loji solar. – Roketkini.com