Berita

Rara seru anak muda sertai Bersih 5, jangan sekadar mengeluh

KUALA LUMPUR, 18 NOV: Mungkin masih ada yang masih teragak-agak atau ‘segan’ untuk menyertai perhimpunan aman Bersih 5 pada 19 November esok yang akan dianjurkan di tiga lokasi berbeza seluruh negara.

Namun, aktivis Impian Malaysia Young Syefura Othman atau lebih dikenali sebagai Rara mungkin ada jawapannya mengapa anda perlu turun menyertai Bersih 5.

Menurut Rara, menyertai himpunan aman Bersih 5 bukanlah sekadar mengenai politik tanah air semata-mata tetapi adalah mengenai masa depan negara dan diri sendiri.

“Jika awak mahu pilihan raya yang bersih, turunlah. Jika awak sokong tuntutan-tuntutan Bersih5, turunlah! Turun untuk diri awak sendiri, turun untuk masa depan negara. Jangan biar orang lain berjuang dan bersuara untuk awak!” katanya dalam satu kenyataan.

rara1

Rara menyeru anak muda sertai BERSIH 5

Rara juga melontarkan satu lagi persoalan iaitu sejauh mana sikap berdiam diri atau keluhan akan membawa perubahan.

“Rata-rata orang biasa seperti kita tidak mempunyai saluran untuk menyuarakan dan mengadu isu-isu yang kita kisah yang dapat didengari dengan jelas dan lantang oleh pihak berkuasa.

“Protes jalan raya adalah pilihan yang tinggal dan mampu kita lakukan apabila semua percubaan lain gagal,” ujar beliau.

Katanya walaupun tidak turun ke jalan raya tidak bermakna seseorang itu tidak bersetuju dengan isu yang disuarakan, jumlah kehadiran dalam sesebuah perhimpunan penting supaya pemerintah member perhatian terhadap segala tuntutan yang dinyatakan.

“Benar, awak boleh sokong dalam bentuk lain seperti klik ‘like’ di Facebook dan ‘RT’ di Twitter, beri derma dan sebagainya.

“Tapi akhirnya, yang penting adalah jumlah kehadiran di protes itu sendiri. Pihak berkuasa terpaksa dan hanya akan mengambil perhatian terhadap isu yang diprotes apabila terdapat jumlah yang besar melakukan protes,” ujar Rara.

Beliau memberi contoh bagaimana protes-protes jalanan yang dianjurkan bersih sebelum ini telah member kesan besar kepada perubahan negara kea rah penambahbaikan sistem pilihanraya demi sebuah kerajaan yang adil dan demokratik.

“Protes jalanan Bersih 1,2,3, dan 4 telah memaksa SPR untuk melakukan beberapa perubahan seperti penggunaan dakwat kekal, pengundian di luar negara dan kebenaran bagi pemerhati pilihanraya.

“Kita harus terus protes sehingga semua tuntutan kita dipenuhi. Martin Luther King Jr pernah berkata, “kebebasan tidak pernah diberi oleh sukarela oleh penindas, ia mesti dituntut oleh yang ditindas’,” kata Rara lagi.

Rakyat juga tidak perlu khuatir terhadap himpunan-himpunan aman yang dianjurkan di jalanraya kerana ia merupakan salah satu daripada ruang yang dibenarkan dalam sesebuah negara demokrasi.

“Demokrasi bukan sekadar mengundi di peti undi, ia adalah proses politik yang berterusan melalui dialog, lobi, bantahan dan rayuan untuk mengubah sesuatu isu.

“Protes jalanan adalah salah satu pendekatan yang perlu digunakan terutamanya apabila pihak berkuasa seperti tidak endah dalam isu yang disuarakan,” jelasnya.

Justeru perhimpunan aman Bersih 5 yang akan berlangsung esok merupakan peluang dan ruang terakhir rakyat negara ini untuk menuntut proses pilihan raya yang bersih dan adil memandangkan kurang lagi dua tahun, pilihanraya umum akan dilaksanakan. –Roketkini.com