Berita

DAP kutuk tindakan kerajaan UMNO tahan pemimpin pembangkang, BERSIH

GEORGE TOWN, 19 NOV: DAP mengutuk sekeras-kerasnya tindakan kerajaan UMNO menahan Setiausaha Organisasi DAP, Anthony Loke dan Ahli Jawatankuasa DAP Selangor, Ronnie Liu serta pemimpin BERSIH 2.0 Maria Chin Abdullah lewat petang semalam.

Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng dalam satu kenyataanya lewat malam semalam turut mempersoalkan sama ada lebih banyak tangkapan akan dibuat polis dengan alasan pencegahan pada hari berlangsungnya perhimpunan aman tersebut hari ini.

“DAP tidak akan terkejut sekiranya polis juga akan menahan beberapa pemimpin samseng UMNO berbaju merah untuk memberikan gambaran kononnya berlaku adil untuk menjustifikasikan tindakan penahanan pemimpin pembangkang dan BERSIH,” katanya.

Beliau yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang turut menggesa agar kerajaan mengangkat prinsip kebebasan berhimpun dengan membenarkan peserta BERSIH untuk berkumpul secara aman dan mengambil tindakan terhadap sesiapa yang menggunakan keganasan.

Roketkini semalam melaporkan bahawa Anthony yang juga Ahli Parlimen Seremban telah di bawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seremban bagi disiasat mengikut Akta Hasutan 1948 berhubung ucapannya pada konvensyen sulung Pakatan Harapan di Shah Alam pada Sabtu lepas.

Sebelum itu Anthony disoal siasat di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman.

Ronnie Liu yang juga mantan EXCO Kerajaan Negeri Selangor kemudiaannya ditahan mengikut Seksyen 153 Kanun Keseksaan ekoran tuduhan kononnya mencetuskan provokasi dengan niat untuk menyebabkan rusuhan.

“Saya bertanya kepada pegawai yang menahan beliau: Apa kesalahan Ronnie Liu? Pegawai itu berkata: Cuba buat rusuhan. Saya bertanya: Bila rusuhan?. Pegawai itu berkata: Besok,” tulis Ahli Parlimen Segambut, Lim Lip Eng dalam kemaskini laman sosial, Facebook, semalam.

Lip Eng, selain Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang antara beberapa pemimpin pembangkang yang hadir ke Bukit Aman bagi menyatakan soladiriti terhadap penahan dua pemimpin DAP terbabit.

Maria Chin dan seorang lagi pemimpin utama BERSIH, Mandeep Singh turut ditahan di pejabat mereka semalam, masing-masing mengikut Seksyen 124C Kanun Keseksaan dan Seksyen 147 Kanun Keseksaan.

Setakat laporan ini ditulis, 13 individu terdiri daripada aktivis pelajar, pemimpin serta aktivis BERSIH, pemimpin pembangkang dan pemimpin samseng UMNO telah ditahan mengikut pelbagai peruntukan undang-undang.

Himpunan BERSIH 5 yang dijangka bermula pada jam 10 pagi ini antara lain diadakan bertujuan untuk memberi tekanan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak agar meletak jawatan ekoran skandal kewangan melibatkan syarikat negara, 1MDB. – Roketkini.com