Berita

Kenyataan ‘Kok’, Timbalan Menteri UMNO didesak mohon maaf

KUALA LUMPUR, 21 NOV: Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok menuntut Timbalan Menteri UMNO, Datuk Tajuddin Abdul Rahman memohon maaf atas kenyataan berbaur seksualnya dalam Dewan Rakyat sebentar tadi.

“Jika dia tidak tarik balik (kenyataan itu) dan memohon maaf, dia harus dipecat daripada jawatan Timbalan Menteri.

“Kenyataannya itu telah memalukan Dewan Rakyat dan institusi Parlimen.

“Saya tidak ganggunya, tetapi beliau mengeluarkan kenyataan seksis,” katanya kepada Roketkini.

Tajuddin yang merupakan Ahli Parlimen Pasir Salak bertindak mengejek nama keluarga Naib Pengerusi DAP itu dengan menggelar beliau sebagai satu-satunya perempuan yang ada ‘Kok’.

Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani itu berkata demikian selepas berbahas dengan ahli-ahli parlimen pembangkang berkaitan perhimpunan Bersih 5 yang diadakan pada Sabtu lalu.

“Satu-satunya perempuan yang ada ‘Kok’ ialah Seputeh,” kata Tajuddin.

Kenyataan beliau itu menimbulkan kekecohan, dengan Teresa menyelarnya sebagai ‘tidak bertamadun’. Ahli Parlimen Ipoh Barat, M. Kulasegaran pula meminta Tajudin menarik balik perkataannya atau beliau akan diambil tindakan.

Timbalan Sepaker, Datuk Ronald Kiandee bagaimanapun seolah-olah mempertahankan Tajuddin dengan tidak meminta beliau menarik balik kenyataan, sebaliknya menyatakan kenyataan itu hanya merujuk kepada nama keluarga Teresa tanpa ada maksud lain. – Roketkini.com