Berita

SOSMA disalahguna, polis didesak segera bebaskan Maria Chin

JOHOR BAHRU, 21 NOV: Adun Pakatan Harapan Johor hari ini mendesak agar Pengerusi Bersih 2.0, Maria Chin Abdullah dibebaskan segera dari tahanan polis di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) (SOSMA) 2012.

Dalam satu kenyataan bersama, pihak polis diminta menjalankan tugas secara adil dan saksama tanpa menyalahgunakan SOSMA kerana perhimpunan Bersih 5 pada 19 November lalu berlangsung secara aman dan tenteram.

Adun Jementah, Tan Chen Choon berkata penangkapan Maria, ahli-ahli pembangkang serta para aktivis adalah tidak adil kerana perhimpunan tersebut langsung tidak menjurus ke arah keganasan.

“Bersih tidak mencemarkan imej negara tetapi skandal kleptokrasi dan penangkapan politik tidak berasas sebeginilah yang menyebabkan imej negara tercalar,” katanya.

Naib Pengerusi DAP Johor itu turut mendesak agar Setiausaha Organisasi parti itu merangkap Ahli Parlimen Seremban, Anthony Loke dibebaskan dengan segera.

Anthony ditahan polis sehari sebelum perhimpunan Bersih 5 diadakan, kononnya kerana berniat mahu menjatuhkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dalam ucapannya di Konvensyen Pakatan Harapan pada 12 November lalu.

Dalam kenyataan yang sama, Adun Bukit Baru, Jimmy Puah dari Parti Keadilan Rakyat (PKR) pula menyatakan penahanan Maria merupakan bukti bahawa SOSMA disalahguna oleh pihak-pihak berkepentingan.

“Sebelum SOSMA diluluskan di Parlimen, kita (pembangkang) membantah kerana kita melihat terdapat ruang manipulasi ke atas akta ini. Ternyata bantahan kita selama ini memiliki asas yang kukuh.

“Menerusi penangkapan Maria, SOSMA dilihat seolah-olah digunakan bagi tujuan kepentingan poltik kumpulan berkepentingan. Bukannya berfungsi untuk menyekat terorisme dan keganasan yang mengancam keselamatan negara,” tegasnya.

Pada masa sama, Adun Parit Yaani, Haji Aminolhuda Hassan dari Parti Amanah Negara menjelaskan, perhimpunan Bersih 5 adalah dilindungi di bawah Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan.

“Malah, Suhakam turut memberi respon positif dan menyokong hal ini.

“Kita mengucapkan terima kasih kepada polis yang telah menjaga keselamatan peserta Bersih. Ia amat membantu agar perhimpunan berjalan dengan selamat,” katanya.

Oleh itu, katanya, penangkapan Maria serta beberapa pemimpin pembangkang dan aktivis tidak berasas. – Roketkini.com