Berita

Perjuangan lima tuntutan Bersih 5 mesti diteruskan

KUALA LUMPUR, 21 NOV: Perjuangan menuntut pilihan raya bebas dan adil serta kerajaan yang bersih tidak terhenti setakat di perhimpunan Bersih 5 pada 19 November lalu, tetapi mesti diteruskan oleh semua pihak bagi memastikan misinya tercapai.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Balakong, Eddie Ng Tien Chee berkata ia boleh dilakukan dengan terus menyebarkan mesej-mesej yang dibawa oleh perhimpunan Bersih 5 yang lalu.

Lima tuntutan tersebut adalah pilihan raya bersih, kerajaan bersih, perkukuh demokrasi berparlimen, hak untuk membantah dan memperkasa Sabah dan Sarawak.

“Saya menyeru kepada semua yang menyertai himpunan ini dan juga mereka yang tidak dapat hadir supaya tidak memberhentikan jejak walaupun himpunan telah bersurai. Perjuangan kita tidak berhenti pada saat ini.

“Sebarkan mesej ini kepada semua rakan kita yang belum sedar. Sebarkan juga mesej ini kepada mereka yang tidak ambil peduli mengenai isu-isu kepimpinan negara agar mereka tahu untuk membuat pilihan pada PRU akan datang,” ujarnya dalam satu kenyataan.

Dalam pada itu, Setiausaha Organisasi DAP Selangor tersebut turut mengucapkan tahniah kepada semua pihak yang telah menjayakan perhimpunan Bersih 5 walaupun berlaku tangkapan polis serta ugutan dari kumpulan Baju Merah terhadap mereka yang mahu hadir.

“Walaupun polis telah melakukan tangkapan terhadap pemimpin Bersih dan aktivis untuk menakutkan para peserta, himpunan ini tetap mampu mengumpulkan lebih ribuan peserta dari pelbagai kaum.

“Justeru, kita jangan berhenti di sini. Teruskan perjuangan dan semangat Bersih 5 agar kita dapat membawa perubahan kepada negara kita demi masa hadapan dan anak cucu kita,” tegasnya. – Roketkini.com