Berita

“Ya, kita mahu tumbangkan Najib, tetapi melalui cara berperlembagaan” – Kit Siang

KUALA LUMPUR, 21 NOV: Pembangkang memang mahu menumbangkan kerajaan UMNO Barisan Nasional pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak kerana membenarkan Malaysia menjadi negara ‘kleptokrasi’, tetapi hanya melalui cara yang dibenarkan oleh perlembagaan.

Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang berkata cara paling sesuai bagi berbuat demikian adalah melalui pilihan raya dan bukannya menerusi apa-apa tindakan ganas atau tidak berperlembagaan.

“Tidak ada pemimpin DAP dalam 50 tahun penubuhan parti ini yang cuba menggunakan keganasan atau cara yang bercanggah undang-undang untuk menyingkirkan kerajaan yang sedia ada.

“Dan tidak ada pemimpin Bersih, tidak kira di perhimpunan Bersih 1 sehinggalah Bersih 5 yang menggunakan kekerasan dan mahu menjatuhkan kerajaan melalui cara yang tidak demokratik dan tidak berperlembagaan,” ujarnya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata demikian ketika mengulas penahanan Ahli Parlimen Seremban, Anthony Loke di bawah Akta Hasutan 1948 pada Jumaat lalu.

Setiausaha Organisasi DAP itu ditahan kerana kononnya ucapan beliau di Konvensyen Pakatan Harapan di IDCC Shah Alam pada 12 November lalu berniat mahu menjatuhkan Najib. – Roketkini.com