Berita

“Kalau kami agen CIA, malam ini kami sudah di Monaco berjoli” – Isham Rais

KUALA LUMPUR, 24 NOV: Sudah tiga malam berturut-turut orang ramai berkumpul di Dataran Merdeka mendesak pembebasan Pengerusi Bersih Maria Chin Abdullah yang sudah lima hari ditahan di bawah SOSMA.

Walaupun DBKL tidak membenarkan orang ramai masuk ke Dataran Merdeka, perhimpunan solidariti #BebasMaria itu diadakan di pinggir jalan bersebelahan padang bersejarah berkenaan.

bersih-dataran1Ribuan hadirin rata-ratanya berbaju kuning berkumpul dengan membawa plakad menyatakan sokongan kepada Maria.

Perhimpunan dimulakan dengan nyanyian Negaraku dengan penuh semangat diikuti lagu patriotik Sejahtera Malaysia selang beberapa pidato ringkas aktivis dan pemimpin pertubuhan sivil dan politik.

Menarik perhatian malam tadi ucapan aktivis Hishamuddin Rais menempelak propaganda jahat yang menuduh Maria Chin sebagai agen CIA oleh Ketua Penerangan UMNO Tan Sri Annuar Musa.

“Tuduhan CIA agen, Yahudi adalah mengarut dan fitnah yang diulang-ulang!

“Kalau kami agen CIA kami tak akan berada di sini malam ini, kami akan berada di Monaco habiskan duit, berjoli,” tegasnya disambut sorakan hadirin.

Menurutnya yang turut menganggotai Jawatankuasa Pemandu Bersih, tujuan utama perhimpunan Bersih adalah untuk menuntut supaya pilihanraya yang adil dijalankan di Malaysia.

bersih-dataran2

“Anak segala bangsa, bangsa segala agama telah turun ke jalan tuntut pilihanraya adil! Itu yang kita tuntut!” kata Isham.

Menyifatkan tuntutan Bersih sebagai perjuangan suci, Presiden Amanah Mohamad Sabu berkata individu seperti Maria wajib dibela.

“Perjuangan Maria Chin dan teman-teman adalah perjuangan suci rakyat Malaysia.

“Wajib bagi kita sokong dan membela orang seperti Maria,” kata beliau.

Timbalan Pengerusi Bersih Shahrul Aman pula menyeru supaya rakyat Malaysia bersama-sama menghentikan fitnah ke atas Maria.

“Dia hanya naik proton sahaja.

“Dengan hati, kita akan sebarkan kasih sayang kepada negara. Dengan kasih sayang, kita lenyapkan segala fitnah ke atas Maria,” katanya.

Menarik perhatian, Ahli Parlimen PAS dari Pokok Sena Datuk Mahfuz Omar membangkitkan isu derma dan dana yang diterima mana-mana pertubuhan bukan kerajaan negara ini.

“Adakah salah kita menerima derma untuk pendidikan politik, untuk mempertahankan Demokrasi Berperlembagaan? Salahkah?” soalnya.

Perhimpunan malam tadi berakhir aman tanpa sebarang kekacauan. – Roketkini.com