Berita

Akibat pertahan Teresa, Khalid diserang individu didakwa anak Tajudin Rahman

KUALA LUMPUR, 24 NOV: Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Abdul Samad hari ini mendakwa terdapat sekumpulan individu yang dipercayai dari Pasir Salak telah menyerang beliau setibanya di Parlimen awal pagi ini.

Bagaimanapun, katanya, tindakan ganas sesetengah individu berkenaan berjaya dikawal oleh pihak keselamatan yang berkumpul dan mengepung kenderaannya bagi melindunginya.

“Mereka datang mencaci dan memaki saya. Pihak keselamatan telah melindungi saya dan membawa saya ke dalam dewan. Saya ucapkan terima kasih kepada pihak keselamatan yang telah menjaga saya dengan baik.

“Ada antara mereka (pihak keselamatan) yang dipukul. Tumbukan dan pukulan yang ditujukan kepada saya tetapi telah dilindungi oleh pihak keselamatan dengan menggunakan badan mereka sendiri sebagai ‘perisai’,” ujarnya di lobi Parlimen sebentar tadi.

Menurut Khalid, terdapat seorang individu daripada kumpulan itu yang mendakwa dirinya sebagai anak kepada Ahli Parlimen Pasir Salak, Datuk Tajuddin Abdul Rahman dan mempersoalkan mengapa ayahnya digelar dengan perkataan “sial”.

Sebelum ini, Khalid mengeluarkan kata itu terhadap Tajuddin sebagai tindak balas terhadap kenyataan seksis Timbalan Menteri UMNO itu terhadap Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok di Parlimen pada Isnin lepas.

Tajudin yang juga Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani menggelar Teresa yang juga Naib Pengerusi DAP sebagai satu-satunya perempuan yang ada ‘kok’. ‘Kok’ adalah fonetik kepada perkataan yang merujuk kepada alat kelamin lelaki.

Ahli Majlis Tertinggi UMNO itu bagaimanapun enggan menarik semula kenyataannya meskipun mengundang kecaman dan dituntut pihak pembangkang untuk berbuat demikian.

Sementara itu, Khalid turut menyifatkan tindakan individu berkenaan sebagai amalan gangsterisme yang menyerupai tindakan samseng UMNO Baju Merah yang diketuai Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar, Datuk Jamal Yunos.

“Ia merupakan satu budaya yang ala ‘Jamal Jamban’. Saya merasakan ini semua adalah tanda-tanda yang ditunjukkan oleh kerajaan yang sudah semakin yakin bahawa rakyat telah menolaknya.

“Dan ahli-ahlinya bertindak dengan cara yang sepertimana yang mereka bertindak kerana sudah tidak boleh berhujah (dengan rasional),” katanya. – Roketkini.com