Berita

Bersih cabar Ketua Polis dedahkan dokumen punca Maria ditahan SOSMA

KUALA LUMPUR, 24 NOV: Bersih 2.0 mencabar Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar mendedahkan dokumen yang dikatakan menjadi punca pengerusi badan itu, Maria Chin Abdullah ditahan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) (SOSMA) 2012.

Pegawai Sekretariat Bersih 2.0, Mandeep Karpall berkata pihaknya yakin tidak wujud apa-apa dokumen yang boleh menyebabkan Maria dilihat sebagai pengganas atau mengancam keselamatan negara.

“Kami tahu semua dokumen yang dirampas polis di pejabat kami baru-baru ini langsung tidak boleh mewajarkan penangkapan dan penahanan Maria.

“Jika benar dakwaan Khalid, tunjukkan dokumen itu kepada umum. Biar rakyat nilai sendiri sama ada ia mengancam keselamatan negara atau tidak,” tegasnya kepada Roketkini.

“Jangan pusing sana pusing sini (kenyataan), tetapi tunjukkan kepada kami. Kami yakin tidak ada apa-apa yang boleh dijadikan punca Maria ditahan.”

Khalid semalam mendakwa penangkapan Maria di bawah SOSMA tidak berkaitan dengan politik, sebaliknya wujud dokumen di pejabatnya yang membawa ancaman terhadap keselamatan negara.

Namun, pelbagai pihak menganggap penahanan Maria itu ada kaitan dengan penganjuran himpunan Bersih 5 yang diadakan pada 19 November lalu, lebih-lebih lagi apabila perjuangan Bersih semakin disambut baik oleh rakyat.

Permohonan habeas corpus ibu kepada tiga anak itu akan didengar oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada Selasa depan bagi mencabar penahanannya di bawah SOSMA. – Roketkini.com