Berita

Kenapa selepas lima tahun Parlimen masih belum siap baik pulih?

KUALA LUMPUR, 24 NOV: Jika Menara Berkembar Petronas (KLCC) setinggi 88 tingkat boleh dibina dalam tempoh kurang tujuh tahun pada 20 tahun lalu, mengapa kerja baik pulih bangunan Parlimen masih belum siap selepas lima tahun?

Demikian persoalan yang dilontarkan Ahli Parlimen Segambut, Lim Lip Eng yang menganggap tempoh kerja baik pulih itu terlalu lama dan mengundang keraguan.

“Adakah ini disebabkan projek tersebut mengalami penambahan kos atau pihak kerajaan mengalami masalah untuk membayar kontraktor?” soalnya dalam satu kenyataan.

Menurut Lip Eng, Menteri Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusof tahun lalu mengumumkan fasa melibatkan blok utama bangunan Parlimen yang menempatkan Dewan Rakyat dan Dewan Negara dijangka siap pada Januari 2017.

“Bolehkah kedua-dua Dewan Rakyat dan Dewan Negara itu siap pada Januari 2017, kurang dua bulan saja lagi?

“Jika tidak, apa sebab kelewatan? Kontraktor utama, sub-kontraktor atau Kementerian Kerja Raya?” kata Setiausaha DAP Kuala Lumpur itu.

Lip Eng menjelaskan, jika teknologi 20 tahun lalu bagi pembinaan KLCC digunakan, bangunan Parlimen setinggi 63 tingkat mampu disiapkan selepas lima tahun kerja baik pulih.

“Sebelum Parlimen bersidang semula tahun hadapan, kerajaan mesti mengumumkan kos sebenar, tempoh siap kerja baik pulih bangunan Parlimen dan apa sebab kelewatan,” tegasnya. – Roketkini.com