Wawancara

Anak muda dalam DAP: Demi wang, kuasa atau tanggungjawab? – Bahagian II

Baca Bahagian I di sini: http://www.roketkini.com/2016/11/27/anak-muda-dalam-dap-demi-wang-kuasa-atau-tanggungjawab-bahagian-i/

Menjadi ahli majlis, kata Shakir Ameer yang berusia 33 tahun itu, merupakan cabaran paling mencabar tetapi menyeronokkan yang sedang ditempuhinya saat ini. Lebih-lebih lagi, tugas sebagai ahli majlis tidak boleh dipandang ringan dan memerlukan komitmen 24 jam. Shakir pula pada masa sama bekerja dalam bidang kewangan dan insurans di Kuala Lumpur.

“Sebelum saya memilih untuk menjadi ahli majlis, saya sudah fikir masak-masak tentang pengurusan masa dan sebagainya. Kerana saya tidak boleh tinggalkan bidang profesional saya.

“Alhamdulillah, fleksibiliti itu ada. Sepanjang tempoh ini, saya masih mampu menjalankan tanggungjawab dalam MBSA dan pekerjaan dengan baik. Dua-dua pun saya beri komitmen sepenuhnya,” ujarnya.

Menurut graduan Universiti Multimedia dalam Ijazah Kejuruteraan Telekomunikasi itu, beliau tidak kisah jika seluruh masanya dihabiskan untuk berkhidmat kepada masyarakat kerana baginya, itulah yang patut ditawarkan oleh golongan belia.

Kata-katanya membuatkan saya teringat kepada peranan anak muda di negara ini yang suatu ketika dahulu amat aktif, namun telah beransur redup dan malap. Jika ada pun, ia melibatkan jumlah yang agak kecil. Fungsi golongan ini dalam kancah sosial semakin menurun – dengan lebih ramai gemar menghabiskan masa menyelusuri alam maya berbanding menghadapi realiti bersama masyarakat setempat.

Ini, kata Syakir, perlu berubah, dan perubahan itu harus datang dari anak muda sendiri. Disebabkan itulah, beliau memandang tugasnya sebagai ahli majlis bukan sekadar itu, tetapi sebagai penyambung dan penyatu masyarakat tanpa mengira kaum, agama dan kelas.

Ia dilaksanakan melalui penganjuran pelbagai program yang melibatkan semua golongan, lebih-lebih lagi apabila penduduk kawasan beliau terdiri dari kelas atasan, pertengahan dan pekerja.

“Kawasan saya (Bukit Subang dan Bukit Cerakah) meliputi penempatan orang kaya dan juga flat PPR. Jika ramai suka bercakap soal kaum, tetapi di sini 90 peratusnya Melayu, cuma wujud masalah kelas.

“Cabaran saya adalah untuk menyatu-padukan semua orang tanpa mengira kelas. Ia dilaksanakan dengan mencambah proses kerjasama antara mereka melalui pelbagai program yang kita buat. Ia masih satu cabaran, tetapi saya boleh nampak progress (kemajuan).

“Sekarang, penduduk dari kelas berbeza ini semakin kerap beramah mesra. Merapatkan rakyat amat penting. Walaupun ia hanya untuk satu zon, tetapi segalanya bermula dari tempat sekecil itu,” jelasnya.

Antara program yang paling mencuit perasaannya adalah sambutan Hari Merdeka pada bulan Ogos lalu, di mana ia melibatkan pelajar-pelajar sekolah dan rumah anak yatim. Bagi Shakir, timbul rasa puas apabila melihat senyuman dan keriangan kanak-kanak yang hadir ke program tersebut walaupun ia memuatkan aktiviti-aktiviti ringkas.

“Kita ada program deklamasi sajak, ‘parade’, kuiz. Malah, kita semua juga makan bersama. Disebabkan kita libatkan pelajar-pelajar sekolah, jadi ibu bapa dan PIBG turut teruja serta menyokong aktiviti yang kita anjurkan.

“Saya sasarkan 500 orang, tetapi lebih 1000 yang datang. Untuk saya, bila penduduk hadir ke program, bermakna mereka suka aktiviti setempat. Hadiah tidak mahal mana, cuma hamper makanan, tetapi semua orang gembira. Itu yang penting,” katanya.

Berkhidmat merentasi parti politik

Bertugas di kawasan majoriti Melayu, tentunya ramai dapat mengagak bahawa seseorang dari parti DAP pada awalnya kurang diterima oleh penduduk setempat. Lebih-lebih lagi apabila dakyah UMNO Barisan Nasional yang berbaur perkauman dalam memburukkan DAP masih tebal di kalangan masyarakat Melayu di negara ini.

Namun, jelas Shakir, ia tidak pernah membantutkan hasratnya untuk bekerja demi kesejahteraan semua penduduk tanpa mengira parti politik yang mereka anuti.

“Semasa awal-awal saya menjadi ahli majlis, saya sudah katakan kepada penduduk bahawa saya orang DAP. Namun, saya kata jangan tengok kepada parti saya tetapi tengok kepada kerja yang saya buat.

“Perkhidmatan itu yang terpenting. Jadi, sesiapa dari parti mana pun boleh datang dan adukan masalah kepada saya. Tak kira apa parti politik kita sertai, kerjalah yang paling utama, yang paling penting.

“Contohnya, jika ada sampah, kita bukan kutip sampah penyokong kita saja tetapi kutip sampah semua (penduduk). Masalah setempat adalah masalah semua tanpa mengira parti. Dengan servis yang bagus, ya, akhirnya secara tak langsung ia akan bawa kebaikan kepada parti,” ujarnya, sambil menambah, beliau beruntung kerana urusetia setiap program sentiasa bekerjasama walaupun dari parti berbeza.

“Ia termasuk juga isu-isu setempat lain seperti sampah pukal, longkang, trafik di hadapan sekolah. Kita cuba buat yang terbaik bagi kemaslahatan semua tanpa mengira parti. Itu amanah dan tanggungjawab,” tegas Shakir.

Selain dilanda kesibukan menjadi ahli majlis, beliau yang juga Bendahari DAPSY Selangor turut aktif dalam program-program anjuran pergerakan pemuda parti itu. Namun, Shakir mengakui bahawa DAPSY masih kurang dikenali berbanding pergerakan pemuda parti-parti politik yang lain.

“Orang mungkin kenal DAP tetapi kurang yang kenal DAPSY. Tetapi sejak beberapa tahun kebelakangan ini, kita ada banyak pelan dan program,” ujarnya sambil menjelaskan, pergerakan pemuda parti tersebut sedang aktif menjalankan pendaftaran pengundi baru di kalangan anak muda.

Ia ekoran masih ramai golongan belia yang berumur 21 tahun ke atas masih belum mendaftar menjadi pemilih, sedangkan mengundi adalah antara tanggungjawab terbesar yang harus dijalankan sebagai seorang rakyat negara demokratik seperti Malaysia.

“Kita mahu ‘push’ perkara ini, terutamanya sebelum Pilihan Raya Umum ke-14 akan datang. Seboleh-bolehnya, semua anak muda akan mendaftar sebelum Disember 2017,” katanya.

Menyertai DAP, ujarnya, merupakan batu loncatan untuk beliau menjadi lebih berdaya guna dan produktif dalam memberi khidmat yang terbaik kepada masyarakat. Hal ini kerana DAP merupakan sebuah parti yang amat mementingkan mutu dan kualiti kerja.

“Rekod servis DAP adalah tinggi, malah saya boleh katakan lebih tinggi dari beberapa parti lain. Dengan menjadi ahli, ia melatih saya menjadi lebih rajin dan efisien. Secara tak langsung, saya harus buat kerja yang terbaik.

“Apa saja yang saya belajar dari DAP, saya jadikan pendorong dan pengajaran untuk jadi pemimpin yang lebih bertanggungjawab. Kita kena sentiasa belajar dan faham isu yang melibatkan masyarakat, khususnya golongan pertengahan dan orang susah. Jika kita tak faham, bagaimana kita mahu mewakili mereka?” katanya.

Perbualan kami kemudiannya terhenti di sini. Sepanjang temuramah berlangsung, saya dapat rasakan anak muda bernama Shakir ini bukanlah seseorang yang menceburi politik untuk menempah nama atau kuasa, tetapi benar-benar jujur dan ikhlas dalam memberi kesejahteraan kepada semua.

Semangat bergelora yang ditunjukkan beliau setiap kali perkataan ‘berkhidmat’ atau ‘bekerja’ disebut, jelas menunjukkan itulah asas kepada perjuangannya.

Saya yakin, ahli politik muda seperti Shakir yang sanggup mengerah masa, kudrat dan keringat demi kesejahteraan penduduk dari parti politik berbeza, mampu menjadi pemimpin generasi muda yang dinamik, sekaligus dapat mendendangkan nada politik baru merentasi kaum, agama, kelas dan fahaman politik. – Roketkini.com