Berita

Tun M buat kejutan, hadir di Persidangan Tahunan DAP

SHAH ALAM, 4 DIS: Persidangan Tahunan DAP 2016 yang berlangsung hari ini menerima kejutan dengan kehadiran bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad sekitar pukul 10.15 pagi tadi.

Beliau ditemani pemimpin Pakatan Harapan iaitu Presiden Parti Amanah Negara, Mohamad Sabu dan Presiden Parti Keadilan Rakyat, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Ismail.

Turut hadir adalah bekas menteri, Datuk Zaid Ibrahim dan Pengerusi Bersih 2.0, Maria Chin Abdullah.

Kedatangan mereka mendapat tepukan gemuruh 1,500 hadirin yang ada di dalam dewan.

Sebelum ini, Penasihat Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) itu turut memunculkan diri di Konvensyen Pakatan Harapan yang diadakan pada pertengahan bulan November lalu.

Dalam ucapannya sebelum ini, Tun Mahathir memberi jaminan bahawa PPBM akan bekerjasama dengan Pakatan Harapan dalam pilihan raya akan datang.

Kesediaan beliau itu disambut baik oleh ketiga-tiga parti dalam Pakatan Harapan, iaitu DAP, PKR dan Parti Amanah Negara.

Tun Dr. Mahathir merupakan pengkritik terbesar Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak sejak Presiden UMNO itu didakwa mempunyai kaitan rapat dengan skandal syarikat milik Kementerian Kewangan, 1MDB. – Roketkini.com