Berita

Sibuk tentang ‘anasir luar’, Zahid patut tubuh pasukan baiki ekonomi

KUALA LUMPUR, 6 DIS: Kerajaan dinasihat menubuhkan pasukan khas untuk memperbaiki keadaan ekonomi negara yang lembab dan memperkukuh kedudukan ringgit daripada buang masa menubuhkan pasukan ‘menangani anasir luar’.

Menurut Ahli Parlimen Segambut, Lim Lip Eng dalam satu kenyataan, kerajaan tidak wajar menyibukkan diri dengan segala dakwaan tidak berasas seperti itu, sebaliknya harus memberi fokus kepada masalah ekonomi rakyat yang semakin teruk.

Beliau mengulas saranan Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dalam ucapannya di Perhimpunan Agung UMNO baru-baru ini yang mahu menubuhkan pasukan khas bagi menangani ‘anasir luar’ yang kononnya cuba mencetuskan revolusi di Malaysia.

Timbalan Perdana Menteri dalam ucapannya menuduh ‘anasir luar’ itu terdiri dari pelbagai badan, termasuk kumpulan hak asasi manusia SUARAM, kumpulan pendesak pilihan raya adil Bersih 2.0, Majlis Peguam serta portal berita Malaysiakini.

“Majlis Peguam ada hampir 20,000 ahli, termasuk hakim dan timbalan pendakwaraya yang juga pernah bersama dalam perkhidmatan awam. Adakah pasukan khas Zahid akan menyiasat mereka juga?

“Penjawat awam dan pegawai kedutaan juga ramai melanggan Malaysiakini dan membaca Sarawak Report. Adakah mereka juga akan berdepan masalah?

“Persidangan UMNO yang tamat Sabtu lalu hanya dipenuhi propaganda politik perkauman, tak ada langsung perbincangan tentang keperluan rakyat terutama orang Melayu. Atau tentang bagaimana UMNO merancang untuk memperbaiki ekonomi,” tegasnya. – Roketkini.com