Berita

‘UMNO berbohong kepada orang Melayu’ –Datuk Mohd Ariff Sabri

KUALA LUMPUR, 12 JUN: Mungkin ramai yang masih tertanya-tanya apa dan kenapa UMNO tidak habis-habis menyerang DAP dengan pelbagai fitnah jahat kononnya DAP mahu memusnahkan institusi Melayu dan Islam.

Namun, jika diperiksa fakta, sejarah dan pencapaian parti, segala tohmahan jahat UMNO itu jauh menyimpang dari kebenaran.

Ahli Parlimen Raub Datuk Mohd Ariff Sabri berkata, UMNO bertindak demikian kerana parti itu mahu memesongkan perhatian rakyat dari masalah ekonomi dan penyelewengan yang melanda negara saat ini.

“Ini satu pembohongan terang-terangan UMNO terhadap orang Melayu,” katanya semasa berucap dalam Persidangan Kebangsaan DAP baru-baru ini.

Hakikatnya jelas Ariff, pembohongan UMNO itu langsung tidak berlandaskan fakta sedangkan sudah jelas bahawa kepentingan kaum Melayu dan Bumiputera negara ini termaktub dan dijamin Perlembagaan Persekutuan.

Realiti politik dan demografi Malaysia juga kata Ariff tidak akan menyebabkan Melayu terpinggir di mana kuasa politik Melayu akan terus dominan walaupun UMNO tewas.

“Faktanya ialah, Malaysia negara di mana orang Melayu dominan. Demografi ialah masa depan atau destini. Ketua Negara ialah Melayu. Sesiapa sahaja orang Melayu, dari parti mana pun, boleh jadi Perdana Menteri.

“Hari ini, pendirian rasmi DAP ialah menyokong Anwar Ibrahim jadi Perdana Menteri. Anwar Ibrahim ialah orang Melayu”, katanya di Persidangan Kebangsaan DAP Ahad lalu.

Berdasarkan statistik semasa, kaum Cina membentuk 24 peratus dari populasi keseluruhan penduduk Malaysia, kaum Melayu membentuk 55 peratus dan Bumiputera lain pula 10 peratus.

Menjelang tahun 2030, kadar populasi kaum Cina akan menjadi 15 peratus, manakala kaum Melayu dijangka mencecah 75 hingga 80 peratus.

“Dalam senario demikian, bolehkah kaum Cina jadi Perdana Menteri dan ketua negara ini?” soal Ariff menempelak dakwaan UMNO.

Melayu tak lagi mudah diperbodohkan UMNO

Menurut Ahli Jawatankuasa DAP Pahang itu, UMNO tidak lagi boleh memperbodoh-bodohkan rakyat Malaysia dengan isu sedemikian kerana rakyat, khususnya kaum Melayu semakin sedar dengan pembohongan besar parti itu yang gemar memainkan sentimen perkauman.

“Najib dan UMNO lupa, mungkin Melayu yang bodoh ialah Melayu UMNO sahaja. Melayu yang lain, yang selain 3.2 juta ahli UMNO itu sudah celik dan bukan buta huruf politik lagi.

“Kita akan jawab satu persatu dan sementara itu, kita harap orang Melayu jangan histeria mendengar dusta besar dari UMNO dan pembohong nombor wahid Malaysia, Najib Tun Razak,” jelasnya.

DAP juga katanya tidak mampu membentuk kerajaan secara bersendirian memandangkan hanya akan bertanding sekitar 50 kerusi daripada keseluruhan 222 kerusi parlimen.

“Paling kuat, DAP akan bertanding 50 kerusi parlimen. Jika DAP menang semua, tidak mampu jadi kerajaan kerana memerlukan 112 kerusi paling minima. Ertinya, DAP kena bekerjasama dengan parti-parti dominasi Melayu yang lain.

“DAP lebih faham prinsip bermuafakat. Kita bermuakafat untuk mengerjakan kebaikan, menolak kemungkaran dan meningkatkan takut kepada Tuhan. Jika kita takut kepada Tuhan, kita tidak curi duit rakyat. Kita tidak rompak duit rakyat,” katanya lagi.

Beliau berkata, bangsa Melayu akan lemah dan runtuh jika terus bergantung dan dipergunakan oleh UMNO dan Najib yang telah menggadai prinsip dan nilai-nilai moral mereka.

“Kita tahu bangsa Melayu dalam keruntuhan bila duit mengalir kepada mereka yang menjaja pengaruh dan kuasa; kita tahu bangsa Melayu runtuh bila yang kaya ialah mereka yang rasuah, kita tahu bangsa Melayu runtuh apabila undang-undang gagal melindungi kita dari kebuasan pemimpin Melayu. Dan kita tahu Melayu rosak apabila rasuah dan rompakan dimuliakan dan kejujuran dan amanah pula dipersenda.

“Orang Melayu akan runtuh apabila untuk membangunkan hidup, mereka mesti mendapatkan kebenaran dari mereka yang ada kuasa,” tegasnya lagi. – Roketkini.com