Berita

DAP jawab fitnah Utusan, pertegas junjung Perlembagaan Persekutuan

Biarpun DAP sudah berulang kali menangkis segala tohmahan jahat kononnya parti itu anti-Melayu dan anti-Islam, akhbar pro-UMNO, Utusan Malaysia nampaknya tidak jemu-jemu menjadikan DAP sebagai sasaran fitnah mereka.

Walhal, akhbar berkenaan bolehlah dikatakan sebagai akhbar ‘paling kerap kalah saman’ kerana terbukti laporannya berbaur fitnah dan berniat keji terhadap pemimpin-pemimpin DAP.

Kali ini, Utusan Malaysia pada keluaran 6 Disember lepas mendakwa kononnya DAP mahu merebut jawatan Perdana Menteri jika Pakatan Harapan menang dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) yang dijangka berlangsung tahun hadapan.

Menangkis serangan fitnah itu, Penolong Setiausaha Publisiti DAP, Zairil Khir Johari berkata DAP tidak pernah meminta jawatan berkenaan, malah bertegas bahawa Perdana Menteri yang dipilih DAP tetap Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Bukan hanya kerana beliau Melayu, tetapi kerana beliau Melayu yang berkelayakan.

“DAP percaya ada ramai pemimpin Melayu berkebolehan serta amanah dalam parti-parti pembangkang yang tidak akan seleweng duit negara atau terima ‘derma’ berbilion ringgit,” ujarnya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Ahli Parlimen Bukit Bendera itu, DAP komited dalam pembaharuan sistem dan bukan mahu mengejar jawatan-jawatan tertentu.

“Apa yang lebih bermanfaat kepada rakyat bukan hanya penentuan Perdana Menteri tapi reformasi keseluruhan struktur dan sistem politik negara yang sudah nazak dirosakkan UMNO.

“Kita memahami fabrik sejarah dan sosio-politik negara dan adalah naif untuk DAP mengidamkan jawatan Perdana Menteri,” katanya.

Pada masa sama, Utusan Malaysia turut menuduh DAP sebagai tidak memartabatkan Perlembagaan Persekutuan, sedangkan DAP dan Pakatan Harapanlah yang memastikan undang-undang itu tidak dipinda sewenang-wenangnya oleh kerajaan UMNO.

Zairil menjelaskan, Perlembagaan Persekutuan telah dipinda lebih 48 kali oleh kerajaan UMNO.

“Malah, pakar perlembagaan Prof Shad Saleem Faruqi berkata jika ambil kira keseluruhan pindaan individu, Perlembagaan Persekutuan telah dipinda hampir 700 kali sehingga menjejaskan semangat asalnya,” ujarnya.

Beliau menambah, DAP sentiasa berpegang kepada semangat Perlembagaan Persekutuan seperti yang terkandung dalam Pemasyhuran Kemerdekaan oleh Tunku Abdul Rahman Putra pada 31 Ogos 1957.

Pemasyhuran Kemerdekaan tersebut menekankan semangat dan nilai yang perlu dipelihara, meliputi keselamatan hak dan keutamaan Raja-raja Melayu, hak asasi dan kebebasan rakyat, sistem Raja Berperlembagaan dan demokrasi berparlimen.

“Sebenarnya UMNO yang meremehkan semangat asal Perlembagaan apabila meminda undang-undang tersebut bagi melemahkan kuasa institusi Parlimen dan Raja-raja,” tegasnya. – Roketkini.com