Rencana

UMNO Johor pinggirkan rakan komponennya

Menteri Besar Johor dalam ucapan penggulungan minggu lalu telah menggunakan pentas Dewan Negeri untuk meniup sentimen perkauman dengan menjadikan DAP sebagai alat untuk beliau menyebarkan ketakutan dalam kalangan kaum Melayu.

Pada masa yang sama, samada mengakuinya atau tidak, Khaled Nordin menyedari hakikat bahawa rakan komponennya MIC, MCA dan Gerakan di Johor sudah hilang pengaruh untuk membantu UMNO mengembalikan majoriti dua pertiga di dewan negeri. Kerana itu DAP diserang dengan membuta tuli.

Inilah hakikat kebimbangan beliau apabila sokongan rakyat telah berpindah dari UMNO kepada Pakatan Pembangkang.

Beliau, tanpa sedar mengakui bahawa DAP dan rakan-rakan pembangkang yang lain, telah berjaya melumpuhkan kekuatan BN yang selama ini dibanggakannya.

Di Johor, parti komponen BN baik MCA, MIC dan Gerakan kini hanya menjadi pak turut, mereka sudah di’marginalized’ oleh dasar UMNO, bukan lagi sebagai rakan seperjuangan. Hanya UMNO yang menentukan dasar-dasar kerajaan, bukan MIC, MCA atau Gerakan.

Mereka gagal menawarkan sesuatu yang lebih besar buat rakyat khususnya Bangsa Johor, balik-balik bercakap soal Melayu. Itulah wirid UMNO sejak zaman berzaman, yang pada akhirnya, Melayu jugalah yang paling banyak menerima kesan ketirisan kerajaan korup UMNO BN. Melayu jugalah yang akan dipersalahkan apabila mereka tidak lagi mempercayai UMNO.

Pelbagai slogan dan sorakan digunakan untuk membeli hati orang Melayu, juga untuk menakutkan dan mengugut kaum Melayu.

Hari ini, slogan baru muncul lagi. Perwakilan UMNO dari Johor dalam persidangan UMNO baru-baru ini ada menyentuh tentang ‘tawaran baru’ UMNO Johor berkaitan pendidikan dan peluang pekerjaan kepada orang Melayu.

Tawaran Baru ini dikatakan inisiatif baru untuk orang Melayu, Melayu lagi, apakah ia betul-betul baru?

‘Tawaran Baru’ atau yang dikatakan sebagai ‘New Deal’ ini sesuatu yang agak pelik apabila Menteri Besar mengaum garang di Dewan Negeri dengan mencanang semangat Bangsa Johor yang merai pelbagai bangsa tetapi pada realitinya, ‘tawaran baru’ ini hanya untuk orang Melayu.

Bukankah ini amat bertentangan sekali dengan konsep dan semangat Bangsa Johor itu?.

Inilah kelemahan idea UMNO Johor. Jelas, ia bukan sesuatu yang baru, sebaliknya agenda lapok yang dikitar semula dalam bungkusan baru.

Dasar Pakatan Harapan

Zaman telah berubah, dasar ekonomi dan sosial itu harus berasaskan keperluan kepada golongan rakyat yang paling memerlukan, bukan berorientasikan kaum.

Seperti kerajaan Pakatan Harapan di Selangor dan Pulau Pinang. Kita menyedari keperluan rakyat dalam aspek pembangunan, harus bermula dengan kerajaan itu sendiri.

Dalam aspek meningkatkan integriti, dasar paling penting sebelum apa-apa inisiatif ekonomi dan sosial perlu dibuat ialah dengan memastikan urustadbir kerajaan negeri telus.

Kedua-dua negeri ini pada 2010 dan 2011 telah memperkenalkan satu enakmen khas iaitu Enakmen Kebebasan Maklumat (Negeri Selangor) 2011 dan di Pulau Pinang, Enakmen Kebebasan Maklumat Pulau Pinang 2010 [Enakmen 16].

Dasar ini telah memastikan urustadbir kerajaan negeri berjalan dengan telus, segala maklumat urusan kerajaan negeri, boleh diakses dengan mudah oleh rakyat, baik sebagai individu mahupun pihak swasta.

Ini asas untuk membangunkan negeri, integriti dan keyakinan rakyat harus dipupuk, bukan dipaksa. Tanpa maklumat yang telus, bagaimana rakyat dapat mengambil bahagian dalam pelan pembangunan kerajaan?

Justeru, daripada bercakap soal nak beri ‘ikan’, bukanlah lebih baik kerajaan memberikan golongan sasar ini ‘pancing’ atau ‘jala’ untuk mereka membina dan memulakan hidup.

Begitu juga dengan dasar tender terbuka, sebelum 2008, di Selangor dan Pulau Pinang tiada mekanisme ini, tetapi selepas 2008, tanpa menjerit slogan tolong Melayu pun, tujuh puluh peratus yang memenangi tender adalah dalam kalangan orang Melayu yang memang berkebolehan.

Hingga kini, dasar seperti ini tidak pula ditiru oleh kerajaan UMNO Johor, sebaliknya yang ditiru adalah perkhidmatan bas percuma, pemberian air percuma dan lain-lain, agar nampak popular.

Dasar Lapuk UMNO

Masalah UMNO ini begini, mereka merujuk dengan pergi ke Jerman atau UK atau mana-mana negara sekalipun, mereka hanya mampu melihat kaedah baru atau inisiatif baru dari kacamata ‘kaum’. Jadi tidak guna apa pun inisiatif baru (peluang pekerjaan atau pendidikan) jika hanya mampu untuk menolong satu kaum.

Lebih melucukan lagi, dalam satu rakaman (sidang media), wakil UMNO itu sendiri mengatakan bahawa ’tawaran baru’ ini adalah untuk rakyat (Melayu) nampak apa yang kerajaan UMNO buat untuk rakyat, dan mahu rakyat (Melayu) terus bergantung dengan UMNO.

Kenyataan di atas (sama ada sedar atau tidak) telah menzahirkan kelompongan idea UMNO Johor ini.

Masakan sebuah kerajaan merangka satu dasar agar rakyat ‘nampak’ mereka bekerja. Masakan satu parti politik membuat satu usaha agar rakyat terus ‘bergantung’ dengan mereka.

Tidak syak lagi, idea lompong ini datang dari mentaliti lapuk perkauman UMNO Johor. Mereka gagal memahami konsep kerajaan bekerja untuk semua rakyat tanpa mengira kaum untuk mencapai tingkat penghasilan kepada rakyat.

Tidaklah pelik, rakan-rakan mereka baik MIC, MCA dan Gerakan langsung tak berbunyi dengan ketempangan ‘tawaran baru’ UMNO Johor ini. Ini mungkin kerana mereka telah dipinggirkan dengan dasar perkauman UMNO ini. Mereka semakin tidak releven kepada UMNO khususnya di Johor.

Atas sebab itu, UMNO Johor tiada pilihan lain kecuali mengambil langkah ekstrem untuk menyerang DAP habis-habisan dan bergerak sendiri dalam PRU 14 kelak. Serangan perkauman ini mungkin memerlukan PAS, perkara ini tidak mustahil kerana UMNO Johor sudah ketandusan ilham dan terdesak.

*Mahdzir Ibrahim ialah Pengarah Pendidikan Politik DAP Johor