Berita

Hanya kerana baca puisi, Pak Samad dipanggil polis?

KUALA LUMPUR, 13 DIS: Hanya kerana baca puisi di himpunan aman BERSIH, Sasterawan Negara Datuk A. Samad Said dipanggil polis untuk memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Sentul hari ini.

Sasterawan Negara berusia 81 tahun itu disiasat di bawah Seksyen 504 Kanun Keseksaan dan jika sabit kesalahan, beliau boleh dikenakan hukuman penjara dua tahun atau denda atau kedua-duanya.

Ketika ditemui pemberita, beliau yang lebih mesra dipanggil Pak Samad berkata rasa amat dihargai kerana puisi yang dibacakannya pada himpunan Bersih sebelum ini dianggap ‘senjata’ oleh kerajaan.

“Saya rasa amat dihargai kerana puisi sudah menjadi senjata, dan apa saya lakukan dalam BERSIH 2, 3, 4 dan 5 hanya membaca puisi, yang perjuangkan hak asasi.

“Saya memang berasa bangga kerana dapat meningkatkan nilai sastera ke tingkat yang lebih tinggi,” ujarnya di luar ibu pejabat polis pagi tadi.

Ini bukanlah kali pertama Pak Samad disiasat ekoran penglibatannya membaca puisi di dalam BERSIH. Ahli DAP itu pernah disiasat polis berhubung beberapa himpunan BERSIH sebelum ini.

Turut dipanggil memberi keterangan pagi tadi adalah dua Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Rafizi Ramli dan Nurul Izzah Anwar bersama Ketua WHIP parti itu, Datuk Johari Abdul.

Izzah pula berkata pendakwaan terpilih yang berlaku dalam negara kini menunjukkan bahawa ia arahan dari pihak atasan untuk menekan individu yang mengkritik pemerintahan kerajaan sedia ada.

“Saya menyanjungi usaha pihak polis kerana mereka diarahkan melakukan sesuatu yang bukan keutamaan mereka hari ini.

“Sedangkan kita berdepan masalah rasuah, ekonomi sedang jatuh, tetapi yang didesak Datuk Seri Najib dan Ketua Polis Negara adalah untuk menekan individu yang mengkritik rasuah beliau sendiri,” ujarnya.

Kesemua mereka memilih untuk menjawab apa-apa soalan berhubung penglibatan dalam BERSIH 5 di mahkamah. – Roketkini.com