Berita

Mana perancangan bandar untuk elak Kuala Lumpur jadi ‘hutan konkrit’ melampau?

KUALA LUMPUR, 13 DIS: Wujudkah sebarang perancangan bandar untuk Kuala Lumpur, atau ia akan terus menjadi ‘hutan konkrit’ secara berleluasa?

Persoalan ini dilontarkan oleh Ahli Parlimen Segambut, Lim Lip Eng yang gusar kerana semakin banyak tanah di Kuala Lumpur dimajukan sesuka hati seolah-olah tiada sebarang kawalan.

“Pemilik hartanah yang mementingkan diri telah mengubah tanah pertanian dan perumahan menjadi tanah komersial. Malah, kepadatan pendudukan dinaikkan dari dua angka bagi satu kaki persegi kepada hampir 1000 bagi setiap satu kaki persegi.

“Tanah milik agensi kerajaan pula sama ada dijual atau diusahakan secara bersama dengan syarikat persendirian. Ruang awam di ibu kota kini bertukar menjadi hutan konkrit,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurut Setiausaha DAP Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur itu, kerajaan pada Mei tahun 2008 telah mendraf sebuah Pelan Bandar Raya Kuala Lumpur 2020 (DPBRKL2020) .

Namun, segala perancangan itu telah diabaikan malah cadangan untuk mewartakan pelan tersebut pada 30 September 2011 juga telah ditangguh beberapa kali tanpa alasan munasabah dan hanya kekal di atas ‘kertas’.

“Sekarang, laman web interaktif yang dibangunkan DBKL untuk orang awam tentang DPBRKL2020 itu sudah tak lagi berfungsi.

“Pelan tersebut nampaknya telah dibakulsampahkan akibat sikap tamak pemaju hartanah dan ahli politik korup,” katanya kesal dengan tindakan DBKL itu.

Ekoran itu, beliau menggesa supaya Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Mansor menjelaskan mengapa DPBRKL2020 gagal dilaksanakan meski pun telah menelan belanja yang banyak.

“Jika Tengku Adnan atau mana-mana pegawai tidak sanggup memberikan sebarang penjelasan, siasatan harus dijalankan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan agensi-agensi integriti yang lain,” – Roketkini.com