Berita

Jangan guna agama tapi amal dasar jahiliah

BUKIT MERTAJAM, 13 DIS: Rakyat diseru tolak politik yang menggunakan agama tetapi mengamalkan dasar-dasar jahiliah demi kepentingan peribadi atau kumpulan tertentu.

Dasar jahiliah yang dimaksudkan itu antara lain dengan menyebarkan fitnah, kebencian dan perkauman sempit yang hanya akan memecah belahkan rakyat pelbagai kaum negeri ini.

Saranan itu dibuat Ahli Parlimen Bukit Mertajam Steven Sim dalam ucapannya semasa program agihan bantuan persekolahan daripada Pusat Urus Zakat kepada 103 penerima komuniti di situ.

“Saya merayu agar umat Islam melawan fitnah terhadap kerajaan negeri Pulau Pinang. Nak sokong parti mana, itu hak masing-masing, tapi kita wajib lawan fitnah jahat terhadap negeri kita, contohnya azan dilarang di Pulau Pinang.

“Jika kerajaan (BN) hari ini hanya menggunakan nama agama tetapi masih mengamalkan dasar jahilliah, maka tiada rahmat untuk rakyat dan negara,” katanya.

Dalam ucapannya, Steven mengimbau keadaan masyarakat jahiliah Arab yang pincang dengan amalan rasuah, perkauman dan zalim apabila menanam bayi perempuan hidup-hidup.

Perkara itu katanya berubah setelah kedatangan Islam yang menekankan konsep keadilan sejagat, melindungi hak wanita dan memerangi semangat assabiyah sempit sesuai dengan konsep rahmat kepada sekalian alam. –Roketkini.com