Berita

Guan Eng jawab fitnah media BN terhadap PDC

GEORGE TOWN, 16 DIS: Kerajaan Negeri Pulau Pinang hari ini menyanggah laporan akhbar yang dikawal Barisan Nasional (BN) berhubung dakwaan kononnya Penang Development Corporation (PDC) memperoleh keuntungan RM1.74 bilion hasil penjualan tanah.

Ketua Menteri, Lim Guan Eng dalam satu kenyataan berkata, unit pelaburan kerajaan negeri itu hanya mendapat keuntungan bersih berjumlah RM147 juta hasil daripada penjualan tanah bernilai sekitar RM2 bilion.

Daripada jumlah tersebut, katanya, RM1.8 bilion telah digunakan untuk memperoleh tanah dan menampung kos infrastruktur dan pembangunan, manakala keuntungan RM147 juta berkenaan digunakan bagi tujuan membangunkan negeri itu sebagai lokasi pilihan pelabur dan pelancong.

“Keuntungan PDC ini akan menjadi lebih tinggi jika PDC dibenarkan untuk menjual tanah tersebut pada harga yang lebih tinggi.

“Bagaimanapun PDC tidak boleh berbuat demikian kerana ia mempunyai tanggungjawab untuk melaksanakan kewajipan statutori (perundangan) untuk membawa pekilang baru bagi menjana peluang pekerjaan dan perniagaan untuk Pulau Pinang,” katanya.

China Press sebelum ini melaporkan bahawa kononnya PDC menerima keuntungan RM1.74 bilion hasil penjualan tanah dalam tempoh 2008 hingga 2016.

Sesetengah pihak melahirkan rasa tidak puas hati apabila kerajaan negeri memberikan pinjaman RM609 juta kepada PDC meskipun mereka mendakwa unit pelaburan itu kononnya mencatatkan keuntungan berkenaan.

Bagaimanapun, Guan Eng yang juga Adun Air Puteh menjelaskan bahawa pinjaman tersebut diberikan bagi tujuan perkembangan bank tanah PDC di Seberang Prai.

Dalam pada itu, menurut Guan Eng, beliau menyasarkan pertumbuhan pelaburan yang baik buat PDC bagi tahun mendatang ekoran berjaya menarik minat gedung runcit perabot, IKEA, univerisiti dan hospital.

Selain itu, katanya, PDC turut merancang untuk menggunakan keuntungannya untuk memajukan Pulau Pinang ke arah era Pengkomputeran Awan dan e-Dagang.

“PDC akan menjadi peneraju untuk menjadikan Pulau Pinang secara aktif dalam ‘Revolusi Perindustrian Keempat’, Pengkomputeran Awan, Internet Kebendaan (Internet of Things) dan e-dagang,” katanya.

‘Revolusi Perindustrian Keempat’ atau milinea baru adalah sistem pengoperasian kilang-kilang yang bergantung sepenuhnya terhadap sistem komputer dan internet. – Roketkini.com