Berita

Kos Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang belum muktamad, masih sekadar cadangan

GEORGE TOWN, 16 DIS: Nilai sebenar kos projek Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang (PTMP) hanya boleh ditentukan selepas mendapat kelulusan kerajaan pusat serta tender terbuka dilaksanakan.

Berkata demikian, Exco Kerajaan Tempatan, Pengurusan Lalulintas dan Tebatan Banjir Pulau Pinang, Chow Kon Yeow menjelaskan semua kos yang dibentangkan sehingga kini hanya berada di peringkat cadangan sahaja.

Ia berikutan wujud pihak yang mempersoal peningkatan kos projek berkenaan dari RM27 bilion kepada RM46 bilion.

Menurutnya, kos awal RM27 bilion itu merupakan anggaran oleh juruunding asal projek, Halcrow Consultants Sdn. Bhd yang kemudiannya diguna pakai oleh Kerajaan Negeri Pulau Pinang dalam permintaan untuk cadangan (RFP).

“Berdasarkan anggaran tersebut, SRS Consortium telah mencadangkan projek LRT, Lebuhraya Pan Island Link 1 dan projek tambakan laut (yang dikenali sebagai Fasa Satu).

“Selepas dilantik, SRS mencadangkan projek-projek pengangkutan awam tambahan di Seberang Perai seperti yang diminta oleh pihak berkuasa negeri dan tempatan.

“Dengan pertambahan projek, maka anggaran kos awal sudah tentu perlu diselaraskan,” ujar Pengerusi DAP Pulau Pinang itu dalam satu kenyataan hari ini.

Selain nilai sebenar projek, Kon Yeow berkata, kos keseluruhan juga akan bergantung kepada projek mana yang akan dilaksanakan oleh kerajaan negeri daripada keseluruhan PTMP berkenaan.

Tambahnya, jumlah projek yang akan dibuat turut bergantung kepada nilai tanah tambakan laut kelak.

“Kesimpulannya, sama ada RM27 bilion atau RM46 bilion, ia bergantung kepada projek mana yang akan dilaksanakan dan kemampuan kerajaan negeri untuk membiayainya melalui hasil dari tambakan laut.

“Pada peringkat ini, semua kos tersebut hanya anggaran sahaja,” kata Adun Padang Kota itu. – Roketkini.com