Berita

Halang aktivisme mahasiswa cemarkan imej antarabangsa UM – Teresa

KUALA LUMPUR, 16 DIS: Universiti Malaya (UM) diminta menjelaskan bagaimana pembabitan empat mahasiswa dalam himpunan #TangkapMO1 menjejaskan kepentingan dan reputasi universiti itu.

Ia berikutan dakwaan UM semalam kononnya semua pelajar berkenaan harus dihukum kerana telah membawa mudarat kepada kepentingan dan reputasi universiti, selain menjejaskan keselamatan awam dengan menyertai himpunan yang diadakan pada 27 Ogos lalu.

Ahli Parlimen Teresa Kok berkata, imej baik UM di peringkat antarabangsa sebenarnya tercemar apabila universiti berkenaan cuba menyekat kebebasan beraktivisme pelajar dengan mengenakan hukuman ke atas mereka.

“Aktivisme di kalangan pelajar patut digalakkan. Di serata dunia, ramai pelajar mengetuai demonstrasi-demonstrasi besar untuk sebab-sebab progresif.

“Keadaan itulah yang telah menjadikan dunia kita semakin baik pada hari ini.

“Keputusan UM mengenakan hukuman ke atas empat mahasiwa berkenaan hanya memburukkan lagi reputasinya dalam komuniti akademik global,” katanya dalam satu kenyataan.

UM semalam menjatuhkan hukuman gantung pengajian selama satu semester dan denda RM400 beserta amaran keras ke atas Anis Syafiqah Md Yusof, Muhammad Luqman Nul Haqim dan Muhammad Luqman Hakim Fazli.

Manakala seorang lagi mahasiswa iaitu Suhail Wan Azahar dikenakan hukuman denda RM400 beserta amaran keras.

Menurut Teresa yang juga Naib Pengerusi DAP, sudah tiba masanya UM mengamalkan sikap baru dan mengambil pendekatan positif terhadap aktivisme pelajar.

“Hukuman itu tidak adil dan membuktikan UM tidak menghormati kebebasan akademik dan hak pelajar untuk berhimpun.

“Amat menyedihkan apabila universiti itu tidak belajar dari kesilapan lalu yang telah menjadikannya bahan ketawa seluruh dunia,” ujarnya.

Beliau merujuk kepada tindakan UM menghalang Datuk Seri Anwar Ibrahim berucap di universiti itu pada 2014, semasa beliau masih seorang Ahli Parlimen.

Ia mendapat perhatian pertubuhan-pertubuhan antarabangsa, termasuk Human Rights Watch (HRW) dan Centre of Independent Journalism (CIJ) yang menganggap universiti tersebut telah menjejaskan kebebasan akademik pelajar. – Roketkini.com