Berita

Kerajaan Negeri Pulau Pinang peruntukkan RM1.5 juta untuk pinjaman pendidikan

GEORGE TOWN, 16 DIS: Seramai 311 anak jati Pulau Pinang yang berjaya melanjutkan pelajaran ke institut pengajian awam dan swasta dalam semua peringkat menerima bantuan pinjaman daripada kerajaan negeri pada tahun ini.

Peruntukan pinjaman berjumlah RM1.525 juta yang disalurkan melalui Tabung Amanah Pinjaman Penuntut Negeri Pulau Pinang itu dimaklumkan Ketua Menteri, Lim Guan Eng dalam kenyataan medianya hari ini.

Menurutnya, hasil daripada pentadbiran yang bersih dan bebas rasuah kerajaan negeri mampu untuk menyediakan peruntukan tinggi saban tahun bagi tujuan pembangunan modal insan dalam aspek pendidikan dan sebagainya.

“Kerajaan Negeri mampu menyediakan peruntukan yang banyak oleh sebab kami terus berpegang kepada prinsip bahawa sebuah kerajaan bersih akan menjalankan tata kelola dan urus tadbir Kerajaan yang berteraskan prinsip urus tadbir Cekap, Akauntabiliti dan Telus (CAT).

“Ini boleh dilihat melalui prestasi Kerajaan Negeri sejak tahun 2008 yang mana telah mencatatkan penurunan hutang negeri sebanyak 90 peratus dan pertambahan nilai rizab aset sebanyak 50 peratus,” katanya.

Tambah Guan Eng yang juga Setiausaha Agung DAP, sejak 2008 sehingga kini, kerajaan negeri telah memperuntukkan sejumlah RM13.9 juta bagi tujuan pinjaman pendidikan dan telah memanfaatkan seramai 1,543 pelajar.

Selain itu, Ahli Parlimen Bagan itu berkata, prestasi pentadbiran kerajaan negeri yang baik dan diiktiraf agensi antarabangsa ditambah dengan peningkatan lebihan belanjawan dari tahun ke tahun turut memberi manfaat kepada seluruh rakyat di negeri itu.

“Kerajaan Negeri juga telah berjaya meningkatkan lebihan belanjawan yang terkumpul sebanyak RM574 juta dalam tempoh lapan tahun pemerintahan (2008-2015) berbanding dengan lebihan RM373 juta sepanjang 50 tahun (1957-2007).

“Prestasi yang baik ini juga telah mendapat pujian bukan sahaja daripada Laporan Ketua Audit Negara tetapi juga Transparency International.

“Daripada lebihan Belanjawan terkumpul sebanyak RM574 juta ini, RM413 juta telah diberikan secara langsung sebagai bantuan wang tunai kepada 1.6 juta rakyat Pulau Pinang sejak tahun 2008,” ujarnya. – Roketkini.com