Berita

Pakatan Harapan harus terus berjuang walaupun UMNO pilihan PAS

IPOH, 16 DIS: Tidak ada gunanya Pakatan Harapan terus memujuk PAS untuk turut serta dalam perjuangan menyelamatkan Malaysia jika parti itu lebih memilih untuk ‘bersahabat baik’ dengan UMNO.

Timbalan Pengerusi DAP Perak, V. Sivakumar berkata hubungan baik antara PAS dan UMNO bukan lagi satu rahsia, malah dilihat mempunyai agenda tersendiri.

Justeru, Pakatan Harapan perlu melangkah ke hadapan serta mempersiapkan diri untuk berdepan dengan kedua-dua parti itu dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) akan datang.

“Walaupun besar kemungkinan pertandingan tiga penjuru akan berlaku, tapi rakyat mampu menilai parti mana yang boleh membawa perubahan dan selamatkan negara.

“Pakatan Harapan tidak boleh tunggu sesiapa lagi. Kita perlu mengatur strategi dan turun padang dengan serta-merta untuk memberi penjelasan serta menjernihkan air yang keruh,” ujarnya dalam satu kenyataan.

Menurut Ahli Parlimen Batu Gajah itu, pertandingan tiga penjuru akan memihak kepada gabungan Pakatan Harapan dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) jika strategi yang tepat dapat dilaksanakan.

“Lebih-lebih lagi, rakyat kini mengetahui muslihat hubungan intim antara PAS dan UMNO.

“Rakyat dapat menilai sendiri tindak-tanduk mereka. Biarlah mereka membuat keputusan sama ada benar atau tidak undi PAS bermakna undi untuk UMNO,” jelasnya.

Pemimpin-pemimpin PAS baru-baru ini kerap mengeluarkan kenyataan enggan bekerjasama dengan Pakatan Harapan yang jelas menunjukkan pendirian mereka.

Malah, PAS meletakkan syarat bahawa parti itu akan hanya bekerjasama dengan Pakatan Harapan tanpa kehadiran DAP dan Parti Amanah Negara dalam muafakat pembangkang. – Roketkini.com