Berita

Universiti Malaya didakwa cuba pertahan MO1 dengan menghukum mahasiswa

KUALA LUMPUR, 15 DIS: Universiti Malaya (UM) didakwa seolah-olah mahu mempertahan Malaysian Official 1 (MO1) apabila mengenakan hukuman ke atas empat mahasiswa (UM4) hanya kerana mereka menganjurkan himpunan aman #TangkapMO1 pada 27 Ogos lalu.

Sedangkan, kata Pemuda Pakatan Harapan, ‘Malaysian Official 1’ adalah seorang penjenayah yang didakwa terlibat dalam penyelewengan dana syarikat milik negara 1MDB,  dalam satu kenyataan hari ini.

“Empat mahasiswa ini bangkit membawa kebimbangan seluruh rakyat Malaysia terhadap jenayah MO1 yang kini menjadi bahan berita masyarakat antarabangsa.

“Tindakan menghukum mereka hanya menunjukkan seolah-olah MO1 tidak boleh disentuh sekaligus menjadikan UM sebagai alat melindungi individu di sebalik gelaran MO1 ini,” ujar suatu kenyataan bersama hari ini.

Kenyataan tersebut ditandatangani oleh Ketua Sosialis Muda DAP (DAPSY), Wong Kah Woh; Ketua Pemuda Parti Amanah Negara, Mohd Sany Hamzan dan Ketua Angkatan Muda Keadilan, Nik Nazmi Nik Ahmad.

Menurut mereka, hukuman tersebut adalah bukti bahawa Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) masih menjadi alat untuk menganiaya aktivis mahasiswa, sekaligus mencabul hak mereka untuk bersuara dan berhimpun secara aman.

“AUKU tak ubah seperti SOSMA dan undang-undang drakonian lain yang digunakan untuk mengekang kebangkitan rakyat.

“Kami percaya AUKU akan terus digunakan untuk mencipta budaya takut sekaligus membunuh aktivisme mahasiswa,” tegasnya.

Sehubungan itu, mereka menuntut agar pihak UM membatalkan semua hukuman serta memberi ruang kepada mahasiswa untuk beraktivisme.

“Kita juga tuntut UM mansuhkan semua kaedah tatatertib yang bercanggah dengan hak-hak di dalam Perlembagaan Persekutuan.

“Realitinya, MO1 iaitu penjenayah nombor satu di sebalik skandal 1MDB masih bebas, tetapi mahasiswa yang bangkit mempertahankan maruah negara pula dihukum menggunakan AUKU,” ujarnya.

Panel prosiding tatatertib UM hari ini menjatuhkan hukuman gantung pengajian selama satu semester dan denda RM400 beserta amaran keras ke atas Anis Syafiqah Md Yusof, Muhammad Luqman Nul Haqim dan Muhammad Luqman Hakim Fazli.

Manakala seorang lagi mahasiswa iaitu Suhail Wan Azahar dikenakan hukuman denda RM400 beserta amaran keras. – Roketkini.com