Berita

DAP Sabah komited bantu anak-anak pedalaman dapat akses pendidikan

PENSIANGAN, 15 DIS: Pendidikan pra-sekolah penting bagi persediaan kanak-kanak untuk menempuh alam persekolahan yang sebenar.

Penerapan modul pendidikan yang baik seiring dengan kemudahan infrastruktur serta keperluan yang lengkap mampu mewujudkan suasana pembelajaran yang kondusif.

Namun, buat anak-anak seusia awal enam tahun di sini yang mempunyai minat dan kesungguhan, mereka tidak mampu menikmati kedua-dua aspek berkenaan dengan sempurna.

Hasil tinjauan Pengarah Pendidikan Politik DAP Sabah, Adrian Banie Lasimbang baru-baru ini di Kampung Bantul dekat sini mendapati infrastruktur pra-sekolah yang telah dibina sejak enam tahun lalu sudah terlalu usang dan memerlukan baik pulih.Preschool Pic

Menurut orang lama di kampung tersebut, Elap Ringat Garing, katanya, lokasi sekolah berkenaan juga tidak sesuai kerana
terdedah dengan bahaya ketika musim banjir selain struktur binaannya kini rosak ekoran hakisan tanah.

“Elap turut membangkitkan masalah di mana meja dan kerusi di sekolah itu rosak dan pihak komuniti berjaya membaiki sebahagian darinya dengan sebahagian lagi memang tidak mampu dibaiki lagi,” katanya Adrian.

Berdasarkan tinjauan berkenaan, kata Pengerusi DAP Pensiangan itu, pihaknya kini sedang dalam rancangan untuk mewujudkan garis panduan untuk merumus program dengan menyentuh beberapa aspek yang berkaitan.

adrian

Pengarah Pendidikan Politik DAP Sabah, Adrian Banie Lasimbang

“Antara masalah utama yang dikenalpasti adalah mengenai latihan guru-guru pra-sekolah, elaun guru-guru, bangunan pra-sekolah dan bantuan pembelajaran,” katanya.

Garis panduan itu, katanya, adalah untuk mewujudkan sebuah sekolah yang komprehensif lengkap dengan fasiliti dan modul pendidikan yang menarik.

Selain itu, katanya, DAP melalui Program Pendidikan Impian Sabah telah melaksanakan pelbagai aktiviti pembelajaran untuk kanak-kanak di pedalaman seperti kem pendidikan dan kem membaca.

“Kem pendidikan telah dilaksanakan sewaktu musim cuti sekolah dengan tujuan untuk memberi pendedahan pembelajaran secara interaktif selain mengajar teknik ‘smart study’ untuk pelajar sekolah rendah dan menengah.

“Saya menyeru agar orang awam datang dan membantu komuniti sedemikian untuk mereka memperolehi fasiliti pendidikan yang lebih baik,” ujarnya. – Roketkini.com