Berita

Pulau Pinang serah bantuan RM1000 seorang kepada 888 pelajar IPT

GEORGE TOWN, 15 DIS: Kerajaan Negeri Pulau Pinang menyumbangkan bantuan kewangan sebanyak RM1,000 seorang kepada 888 orang pelajar di negeri itu yang berjaya melanjutkan pelajaran ke peringkat Ijazah Sarjana Muda.

Ketua Menteri, Lim Guan Eng dalam ucapannya berkata, pemberian Bantuan Pendaftaran pelajar ke IPT atau i-BITA itu membuktikan bahawa kerajaan negeri komited dalam membangunkan modal insan di Pulau Pinang.

“Pulau Pinang tidak mempunyai hasil alam semulajadi seperti balak dan minyak, tetapi mempunyai modal insan yang boleh dibanggakan.

“Sebab itu kerajaan negeri memberi perhatian khusus kepada pembangunan modal insan di Pulau Pinang,” katanya sambil mengucapkan tahniah kepada semua pelajar yang dipilih menerima bantuan tersebut.

Menurut Setiausaha Agung DAP itu, bantuan berkenaan merupakan hasil daripada dividen anti-rasuah yang diamalkan oleh Kerajaan Negeri Pakatan Harapan sejak mula memerintah negeri itu pada 2008.

Katanya, sedikit sumbangan daripada kerajaan negeri itu diharap dapat meringankan beban kewangan yang ditanggung oleh pelajar akibat kenaikan kos sara hidup dan harga barangan pada masa ini.

Cek bantuan disampaikan kepada 888 pelajar tersebut di Dewan Sri Pinang di sini, semalam. – Roketkini.com