Berita

Adun pembangkang Pahang mahu terlibat dalam mesyuarat bencana banjir – Tengku Zul

KUANTAN, 15 DIS: Kepentingan rakyat harus mengatasi kepentingan politik dalam menangani bencana banjir.

Justeru, Ketua Pembangkang DUN Pahang, Tengku Zulpuri Shah Raja Puji mencadangkan supaya Adun pembangkang dilibatkan dalam sebarang mesyuarat tindakan kerajaan negeri mengenainya.

“Sebelum ini peranan kami (Adun pembangkang) tidak diiktiraf dalam apa-apa program atau mesyuarat tindakan negeri semasa berlakunya bencana alam termasuk banjir,” katanya.

Cadangan itu, katanya, selaras dengan titah Tengku Mahkota Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah yang mahukan perbezaan ideologi politik diketepikan dalam menangani bencana banjir di negeri itu.

“Saya amat memuji dan menjunjung kasih ke atas Tengku Abdullah di atas titah baginda dalam taklimat bencana banjir pada minggu lalu.

“Saya harap pemberian bantuan banjir tidak dipolitikkan, kemanusiaan harus diutamakan daripada melakukan aksi berpolitik secara ‘kampung’.

“Jangan jadikan rakyat mangsa hanya perbezaan fahaman politik serta warna kulit dan kepercayaan masing masing,” kata Tengku Zul kepada Roketkini.

Jangan politikkan bencana banjir

Tengku Abdullah dalam titahnya berkata, terdapat pihak yang mengambil kesempatan dengan berpolitik sehingga mengakibatkan mangsa banjir tidak mendapat bantuan sepatutnya.

“Jangan kerana dia warna lain kita tidak beri dia makan, inilah masa untuk bersatu tanpa mengira bangsa dan agama bagi membantu mangsa banjir,” titahnya dalam sidang media selepas mendengar taklimat persediaan banjir di Wisma Seri Pahang di sini, Jumaat lalu.

Mengulas lanjut, Tengku Zul yang juga Adun Mentakab berkata, titah baginda itu mengingatkan beliau kepada peristiwa banjir di Temerloh pada Disember 2014 yang menurutnya tidak diurus dengan baik ekoran bantuan lewat yang diterima mangsa.

Kata Naib Pengerusi DAP Pahang itu lagi, terdapat juga dakwaan orang ramai bahawa ada pihak tidak bertanggungjawab menyorok bekalan dan barangan keperluan asas.

“Namun mujurlah, dalam kekurangan itu Ibu Pejabat DAP membuat tindakan yang cepat dengan membekalkan keperluan barang makanan serta keperluan yang lain.

“Sekurang-kuranganya 15 lori treler berisi keperluan untuk mangsa banjir telah disumbangkan daripada NGO (pertubuhan bukan kerajaan) dan juga orang perseorangan,” imbas beliau. – Roketkini.com