Berita

Selepas dua tahun minum air hujan, Impian Sabah baiki sistem bekalan air BN

KENINGAU, 14 DIS: Sejak dua tahun lalu, sekitar 90 keluarga di Kampung Kitou dekat sini terpaksa bergantung kepada air hujan dan anak-anak sungai sebagai sumber minuman dan keperluan harian mereka.

Kehidupan mereka terganggu setelah sistem air graviti yang disediakan kerajaan BN bernilai RM500,000 pada 2014 itu hanya berfungsi selama 18 hari sahaja sebelum mengalami kerosakan.

impian2Walaupun aduan telah dibuat untuk membaik pulih sistem air tersebut kepada kerajaan dan beberapa pihak lain, namun masalah mereka tidak dilayan.

Kunjungan DAP ke kampung tersebut sejak beberapa bulan lalu menghidupkan kembali impian penduduk di sini untuk melihat sistem air graviti ‘mahal’ itu kembali berfungsi.

Pada hari ini, penduduk Kampung Kitou boleh menarik nafas lega apabila sistem air graviti kampung mereka sedang dibaik pulih Impian Malaysia setelah mengadakan perbincangan dan perancangan rapi.

Apa yang membanggakan, kerja-kerja baik pulih itu dilaksanakan melalui semangat gotong royong melibatkan penduduk kampung.

peter-saili

Peter Saili, Pengerusi DAP Keningau

Menurut Pengerusi DAP Keningau, Peter Saili, ini bukanlah kali pertama DAP melalui Impian Sabah membantu masyarakat di pedalaman Sabah menikmati kemudahan asas yang diabaikan BN.

“Pembaikan sistem air graviti Kampung Kitou ini adalah usaha DAP melalui Impian Sabah untuk membantu masyarakat yang terpinggir dari arus pembangunan.

“Sebelum ini juga, DAP telah berjaya membina Sistem Agihan Air Graviti Talayon Tanaru di Mukim Bunga Raya, Bingkor yang melibatkan lima buah kampung dengan 282 buah keluarga dan bilangan seramai 1,500 orang penduduk melibatkan kos keseluruhan berjumlah RM 250,000,” katanya dalam satu kenyataan.

Selain itu, beliau berkata Impian Sabah juga telah berjaya melaksanakan sistem air gravity di beberapa kampung pedalaman lain seperti Kampung Pangie di DUN Melalap dan Kampung Linsosod di DUN Liawan.

Projek-projek membina infrastruktur asas oleh DAP melalui Impian Sabah dibiayai melalui dana yang dikutip daripada sumbangan orang ramai yang prihatin di seluruh Malaysia. – Roketkini.com