Berita

Walau dipenjara, Anwar masih kuasa besar dalam arena politik negara

KUALA LUMPUR, 14 DIS: Biarpun keputusan Mahkamah Persekutuan hari ini tidak memihak kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim, beliau akan terus menjadi kuasa yang berpengaruh dan disegani dalam politik negara.

Ahli Parlimen Klang, Charles Santiago berkata, ia berikutan hampir semua pihak menganggap sabitan liwat ke atas Anwar tersebut sengaja direka bagi menamatkan kerjaya politik beliau.

“Pemenjaraan beliau mungkin akan terus memberi jalan kepada orang lain untuk mengekalkan kuasa.

“Tetapi untuk kita yang di luar (rakyat), Anwar tetap seorang pemimpin dengan hati nurani. Malah, beliau kekal sebagai individu yang disegani walaupun tidak dibebaskan hari ini,” ujarnya dalam satu kenyataan.

Menurutnya, keputusan Mahkamah Persekutuan mengekalkan dakwaan tersebut memang dijangka kerana ia memberi kelebihan besar buat Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan UMNO Barisan Nasional.

“Dengan Anwar hilang peluang terakhir untuk membuat rayuan, Najib berjaya mengenepikan ‘musuh’ politik terbesarnya dalam pilihan raya akan datang.

“Saya akan kekal menyokong Anwar dan keluarganya pada masa mencabar seperti sekarang,” kata Charles.

Mahkamah Persekutuan hari ini menolak permohonan Anwar untuk menyemak semula keputusan sebelum ini yang menjatuhkan hukuman penjara lima tahun ke atasnya bagi kesalahan meliwat.

Dengan keputusan tersebut, bekas Timbalan Perdana Menteri itu berkemungkinan akan terus dipenjara sehingga pertengahan tahun 2018. – Roketkini.com