Berita

DAP Keningau bantu baik pulih titi gantung Sekolah Kebangsaan Binaong

KENINGAU, 20 DIS: Akibat kerosakan titi gantung sejak setahun lalu, kira-kira 50 pelajar dari Sekolah Kebangsaan Binaong terpaksa berjalan kaki sejauh dua hingga lima kilometer setiap hari untuk pergi ke sekolah.

Peter Saili, Pengerusi DAP Keningau

Titi gantung yang menghubungkan laluan utama dari Kampung Binaong dan Kampung Awas-Awas itu terpaksa ditutup memandangkan keadaannya yang berbahaya kepada pelajar dan orang ramai.

Apa yang menyedihkan, walaupun aduan telah dibuat PIBG kepada pihak berwajib dan pernah menjadi viral di media sosial, perkara itu tidak dipedulikan wakil rakyat Keningau.

Namun, pada hari ini, para pelajar dan ibu bapa boleh menarik nafas lega menjelang sesi persekolahan baru tahun hadapan apabila titi gantung itu siap dibaik pulih dalam tempoh yang singkat oleh DAP Keningau.

Inisiatif baik pulih ini terhasil melalui perbincangan dan usul yang dibawakan sendiri oleh Pengerusi Cawangan Penaja DAP Kampung Binaong, Jigu Abas.

Menurut Pengerusi DAP Keningau, Peter Saili, kerajaan BN banyak terlepas pandang dalam usaha membaik pulih infrastruktur asas khususnya di kawasan pedalaman.

“Pihak kerajaan sanggup menghabiskan wang beribu-ribu ringgit untuk menganjurkan kejohanan sukan kecil-kecilan seperti bola sepak.

“Tetapi kita hairan kenapa mereka tidak mahu ambil peduli dengan keadaan titi gantung rosak ini sedangkan ia memudahkan pelajar-pelajar untuk ke sekolah.

“Pembangunan dan baikpulih prasarana adalah perkara yang paling wajar didahulukan,” katanya.

Beliau ditemui ketika turut serta dalam gotong-royong DAP Keningau membaik pulih titi gantung tersebut melibatkan penduduk Kampung Binaong dan Kampung Tigot, Mukim Bunga. -Roketkini