Berita

DAP Sabah bantah caj cagaran tambahan syarikat elektrik negeri

KOTA KINABALU, 21 DIS: Kerajaan Negeri Sabah digesa campur tangan dalam isu caj cagaran tambahan yang dikenakan Sabah Electricity Sdn. Bhd (SESB) kepada pengguna di negeri ini.

Membuat gesaan berkenaan, Setiausaha DAP Sabah, Chan Foong Hin berkata, tindakan syarikat utiliti elektrik tunggal negeri itu mengenakan caj tersebut dilihat tidak wajar dalam situasi ekonomi yang tidak menentu ketika ini.

“Ia adalah beban tambahan kepada orang awam, yang mana perlu bekerja keras demi kehidupan yang memuaskan.

“Adalah sukar untuk mencari rezeki dalam keadaan begini. Dijangka lebih banyak perniagaan bakal tutup selepas perayaan Tahun Baru Cina pada tahun hadapan. Ia bukanlah masa yang baik untuk mengenakan cagaran tambahan.

“Jika kerajaan Barisan Nasional benar-benar prihatin terhadap masalah rakyat, tolong tunjukkan kepada kami kesungguhan untuk membantu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Foong Hin yang juga Adun Sri Tanjong turut mempersoalkan mekanisme yang diguna pakai SESB untuk menetapkan caj berkenaan.

“Apa mekanisme yang digunakan SESB? Mengapa orang awam tidak diberi notis pemberitahuan mengenai langkah berkenaan? Adakah kerajaan negeri sedar mengenainya?” soalnya.

Ia bukanlah kali pertama SESB menggenakan caj cagaran tambah, kali terakhir ia dilaporkan berlaku adalah pada Februari tahun lalu.

Dalam pada itu, beliau turut ingin tahu mengenai perkembangan dan tindakan yang akan diambil SESB bagi menangani masalah simpanan tenaga negatif di Pantai Timur Sabah.

“Kami sudah dengar berulang-ulang kali mengenai pembinaan loji kuasa baru sejak bertahun-tahun tapi sehingga kini tidak ada yang berlaku.

“Saya berbesar hati mendengar pengumuman ketua menteri mengenai loji kuasa gas 300MW yang akan dibina di Sandakan, entah bila pula ia akan siap dibina,” katanya sinis. – Roketkini.com