Berita

Nilai ringgit terus jatuh kerana ‘watak utama’ skandal 1MDB masih bebas – Tony Pua

KUALA LUMPUR, 22 DIS: Gelaran ‘kleptokrasi global’ ekoran skandal mega melibatkan penggelapan dana 1MDB adalah punca utama mengapa Malaysia mengalami kejatuhan mendadak nilai ringgit.

Setiausaha Publisiti DAP, Tony Pua berkata, kejatuhan matawang negara juga berpunca daripada ketiadaan tindakan terhadap individu yang terlibat.

“Hanya di Malaysia, seorang Perdana Menteri yang dirujuk Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (DOJ) sebagai ‘Malaysian Official 1’ (‘MO1’) kerana (didakwa) menyeleweng AS$731 juta ke dalam akaun peribadinya terlepas daripada sebarang tindakan undang-undang.

“Dalam negara yang begitu juga, dengan intimidasi berterusan dan penindasan polis, tidak hairanlah jika Malaysia kehilangan keyakinan pelabur antarabangsa mahupun tempatan,” kata Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara itu dalam satu kenyataan hari ini

Beliau berkata demikian mengulas kenyataan Menteri Kewangan Kedua, Datuk Johari Abdul Ghani yang meminta supaya orang ramai tidak panik dengan kejatuhan nilai ringgit.

Menurut Johari, kerajaan kononnya mempunyai ekosistem pelaburan yang baik bagi mengatasinya.

Ringgit mencecah paras terendahnya sejak krisis ekonomi Januari 1998 seperti yang dilaporkan media Jumaat lalu, pada kadar 4.48 berbanding dolar Amerika.

Peguam negara, Tan Sri Apandi Ali sebelum ini membebaskan Datuk Seri Najib Razak daripada sebarang salah laku membabitkan 1MDB.

Keputusan itu diambil meskipun dunia menyaksikan individu lain yang terlibat dalam membantu pengubahan wang haram 1MDB dihukum.

Terbaharu, bekas pegawai Bank BSI Singapura, Yeo Jiawei dihukum salah oleh mahkamah Singapura atas kesalahan berkenaan. – Roketkini.com