Berita

Pulau Pinang jamin tiada catuan air sehingga 2030

GEORGE TOWN, 22 DIS: Langkah tegas Kerajaan Negeri Pulau Pinang akan menjamin bekalan air berterusan tanpa catuan sehingga tahun 2030.

Ketua Menterinya, Lim Guan Eng membuat janji tersebut dalam perutusan Perayaan DongZhi semalam, di tengah-tengah kemelut gangguan bekalan air di Selangor ekoran kerja-kerja selenggara oleh Tenaga Nasional Berhad.

“Pulau Pinang mungkin satu-satunya negeri dalam sejarah yang belum pernah melakukan catuan bekalan air,” ujarnya yang juga Setiausaha Agung DAP.

Menurutnya hampir kesemua negeri telah berhadapan musim kemarau sehingga terpaksa melakukan catuan, termasuk Taiping yang mencatat taburan hujan tertinggi dalam negara.

Pentadbiran Kerajaan Negeri katanya telah bersiap sedia menghadapi sebarang kemungkinan dengan langkah serampang tiga, termasuk meletakkan beban tanggungjawab ke atas pengurusan tertinggi agensi kerajaan negeri.

Falsafah yang begitu tegas itu katanya meletakkan fokus pengurusan tertinggi Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) untuk mengambil semua langkah yang perlu untuk memastikan tiada catuan air terpaksa dilakukan, termasuk mencari sumber air alternatif.

“Ini sebabnya kenapa Kerajaan Negeri mampu memberi jaminan kepada 1.6 juta penduduk Pulau Pinang dan juga para pelabur bahawa bekalan air tidak akan dicatu sehingga 2030,” tambah beliau.

Selain falsafah tegas mempertanggungjawabkan pihak pengurusan PBAPP, pentadbiran negeri turut mengenakan denda ke atas mereka yang membazirkan air selain melaksanakan program pemuliharan air.

Pulau Pinang turut melaksanakan pengurusan bekalan air yang cekap dengan mewartakan kawasan tadahan air serta memastikan loji rawatan, sistem perpaipan serta takungannya mampu menyediakan marjin simpanan air sebanyak 32 peratus untuk seluruh negeri Pulau Pinang. – Roketkini.com