Berita

Akta Universiti: Dulu lain, sekarang lain kata Mahathir

PETALING JAYA, 23 DIS: Bagi mantan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, pelaksanaan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) sewaktu pentadbirannya ada justifikasi tersendiri.

AUKU antara lain didakwa telah digunakan untuk menutup dan memberi tekanan kepada golongan mahasiswa yang lantang mengkritik tindak-tanduk kerajaan.

Namun forum AUKU 1974 malam tadi bersama aktivis Tangkap ‘MO1’, Anis Syafiqah anjuran pertubuhan pelajar Challenger menyaksikan bekas Presiden UMNO itu memberi jawapan kepada segala persoalan yang dibangkitkan.

“Saya tak peduli apa sebab berdemo, tapi saya amat peduli jika mereka tak belajar. Sebab (masa itu) saya bersetuju penuntut tak harus adakan demonstrasi yang alih tumpuan mereka dari pelajaran kepada kegiatan yang mereka belum mempunyai pembiayaan sendiri untuk melakukannya,” kata Dr Mahathir.

“Tetapi, sekarang ini keadaan berbeza. Pada masa itu ada saluran-saluran lain untuk memprotes. Bukan saja penuntut tapi orang lain juga boleh protes, wakil-wakil rakyat juga masih tidak kena dedak boleh bersuara dan kita dapati saluran undang-undang masih terbuka.

“Jadi undang-undang itu (AUKU) tidak boleh guna untuk Anis. Tapi seolah-olah mereka masih guna untuk sekat demonstrasi yang diadakan Anis,” ujarnya.

Anis pada 15 Disember lalu telah digantung pengajiannya satu semester dan denda RM400 oleh pentadbiran Universiti Malaya (UM) kerana penglibatanya dalam himpunan Tangkap MO1 pada Ogos lalu.

Saluran kritik kerajaan sudah tertutup

Dalam sepucuk surat bertarikh 15 Disember 2017 yang diemelkan kepada aktivis Anis Syafiqah, Tun Mahathir menyatakan sokongannya terhadap tindakan pelajar jurusan linguistik UM tersebut mengadakan demonstrasi Tangkap MO1.

“Saudari tidak bersendirian di dalam kebimbangan ini. Saya yang di penghujung usia mungkin akan terlepas menghadapi penderitaan angkara MO1,” katanya.

Mengulangi sokongannya terhadap Anis malam tadi, beliau berkata saluran untuk memprotes tindakan kerajaan di zaman pemerintahan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak kini sudah tertutup.

“Kalau minta wakil rakyat bangkitkan dalam Parlimen, wakil rakyat tak hendak. Pergi kepada raja-raja, raja-raja pun tak hendak. Jadi bila tak ada saluran lain maka wajarlah kita guna saluran demonstrasi sama ada oleh penuntut atau oleh orang ramai.

“Sekarang ini tak ada saluran lain untuk membetulkan keadaan yang tidak betul. Tidak boleh lapor kepada polis, tak boleh minta dewan rakyat buat undi tidak percaya dan tidak boleh minta raja-raja campur tangan, maka apa jalan lain yang boleh? Yang boleh demonstrasilah.

“Sebab tu saya tulis kepada Anis, saya sokong apa yang dia buat, dan saya pun terlibat dalam demonstrasi,” kata beliau.

“Sekarang ini saya sokong Anis. Saya berpendapat AUKU disalahguna dan tidak ikut tafsiran mahkamah.

“Tapi kita tahu sekarang saluran-saluran yang ada (sudah) tertutup. Yang kita boleh buat ialah demonstrasi. Saya sokong demonstrasi. Saya sokong penuntut.

“Nak peluk gunung tapi tangan tak sampai. Saya bersikap realistik. Buat apa yang termampu,” katanya. – Roketkini.com