Berita

MBPP tidak pandang kaum dalam penguatkuasaan, tegas Exco Pulau Pinang

GEORGE TOWN, 23 DIS: Tidak timbul isu perkauman dalam tindakan Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) meroboh tandas yang dibina secara tidak sah oleh pengendali premis restoran di Lapangan Terbang Antarabangsa Bayan Lepas seperti yang didakwa pihak pembangkang negeri.

Berkata demikian, Exco Kerajaan Tempatan, Chow Kon Yeow menjelaskan, MBPP menjalankan tugasnya secara profesional dan tidak meletakkan sentimen kaum mengatasi undang-undang.

“MBPP tidak memandang warna kulit dan akan ambil tindakan terhadap sesiapa yang melanggar undang-undang, tidak kira warna apa pun,” ujarnya dalam kemaskini laman sosial Facebooknya, semalam.

Keputusan itu katanya, diambil setelah pihak pengendali restoran Kaffa Kafe tersebut berdegil tidak mahu merobohkan sendiri binaan tanpa kelulusan tersebut meskipun telah diberi notis awal untuk berbuat demikian.

Beliau yang juga Adun Padang Kota berkata demikian mengulas tindakan pemimpin parti Gerakan yang mengepalai Barisan Nasional Pulau Pinang, yang cuba mensensasikan tindakan MBPP itu dengan memainkan sentimen perkauman.

Gerakan mendakwa kononnya kerajaan negeri yang ditadbir DAP hanya mengambil tindakan terhadap kaum Cina.

Bagaimanapun, dalam kemaskini terbaru Kon Yeow hari ini, Pengerusi DAP Pulau Pinang itu memuat naik gambar kerja-kerja meroboh struktur ubahsuai rumah Datuk Ahmad Ismail, seorang pemimpin UMNO negeri yang tidak mendapat kelulusan MBBP.

Ia sekaligus mematahkan dakwaan Gerakan bahawa kerajaan negeri kononnya membawa sentimen perkauman dalam sebarang tindakannya.

“Mungkin ini peluang UMNO pula untuk mendakwa kononnya MBPP hanya berani untuk ambil tindakan terhadap orang Melayu. Ini hanya permainan politik perkauman BN,” tegasnya dalam kemaskini berkenaan.

“Malah, mungkin Pengerusi BN negeri, Teng Chang Yeow patut mengadakan mesyuarat untuk memutuskan sama ada MBPP anti-Cina atau anti-Melayu,” tambahnya sinis. – Roketkini.com