Berita

Aktivis mahasiswa saman UKM, DAPSY lancar tabung bantuan kewangan

KUALA LUMPUR, 23 DIS: Sosialis Muda DAP (DAPSY) Negeri Selangor hari ini melancarkan kempen kutipan derma bagi membantu aktivis mahasiswa, Asheeq Ali dalam kes saman beliau ke atas Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) yang telah menggantung pengajiannya baru-baru ini.

Ketua DAPSY Selangor, Teh Hoong Keat berkata kos mahkamah berkenaan dianggarkan sebanyak RM5,000 dan mungkin bertambah dari masa ke masa susulan rayuan kes.

Sehubungan itu, beliau menyeru orang ramai untuk turut serta dalam kempen #SolidarityForAsheeqAli dengan menderma RM10 setiap orang bagi membantu mahasiswa tersebut.

“Semua pihak tidak harus membiarkan golongan mahasiswa keseorangan dalam melawan ketidakadilan yang menimpa mereka.

“Ingin ditegaskan bahawa setiap warganegara, termasuklah mahasiswa adalah dijamin hak perlembagaan untuk berhimpun serta bersuara.

“Pihak universiti ternyata telah mengetepikan Perlembagaan Persekutuan yang merupakan undang-undang tertinggi Malaysia demi menzalimi pemimpin mahasiswa,” katanya dalam sidang media di ibu pejabat DAP.

Asheeq yang juga Setiausaha Agung Kesatuan Mahasiswa Malaysia telah dikenakan hukuman gantung satu semester dan denda RM200 hanya kerana terlibat dalam himpunan Tangkap MO1 yang diadakan di ibu negara pada 27 Ogos lalu.

UKM mendakwa kononnya pelajar jurusan undang-undang tersebut telah memalukan nama universiti dan menyalahi undang-undang dengan menyertai himpunan berkenaan.

Bagaimanapun, Asheeq bertegas bahawa beliau hanya mahu mendesak kerajaan mengambil tindakan terhadap ‘Malaysian Official 1’, individu yang disebut Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat sebagai terlibat dengan penyelewengan dana syarikat 1MDB.

Malah, jelasnya, haknya untuk bersuara dijamin oleh Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan, justeru tidak ada salahnya bagi beliau menyertai himpunan berkenaan.

Beliau kemudian memfailkan saman ke atas tiga defendan, iaitu UKM, Kementerian Pengajian Tinggi dan kerajaan Malaysia dengan menyatakan hukuman berkenaan bercanggah dengan Perlembagaan.

Kempen #SolidarityforAsheeqAli bermula dari hari ini (23 Disember) sehingga 24 Januari 2017. Jumlah kutipan derma akan diumumkan selepas kempen tamat.

Sumbangan boleh disalurkan kepada DAPSY Selangor menerusi nombor akaun 3162088409 (Public Bank Berhad).

Sebarang pertanyaan mengenai kempen tersebut boleh diajukan ke talian 019-2336469. – Roketkini.com