Berita

Difitnah cuba dapatkan jawatan TPM, Kit Siang pertimbang saman akhbar New Straits Times

KUALA LUMPUR, 27 DIS: Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang hari ini meminta peguamnya mempertimbangkan tindakan undang-undang ke atas akhbar milik UMNO, New Straits Times (NST) berikutan laporan berunsur fitnah bertajuk ‘Helah DAP untuk mendapatkan jawatan Timbalan Perdana Menteri.’

Laporan itu menyebut bahawa beliau ‘bertemu dengan Tun Dr. Mahathir pada 3 Disember lalu dan memeterai perjanjian dengan Datuk Seri Mukhriz Mahathir yang akan menjadi Perdana Menteri, dan Kit Siang sebagai timbalannya’.

Bagaimanapun, jelasnya, laporan itu tidak benar sama sekali dan hanyalah satu fantasi semata-mata kerana beliau tidak pernah bertemu Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) untuk berbincang mengenai hal tersebut.

“Saya tidak pernah bertemu Mahathir, sama ada pada 3 Disember atau sebelum itu untuk ‘meterai perjanjian’ dalam soal PM atau TPM jika UMNO Barisan Nasional kalah dalam pilihan raya umum akan datang.

“Malah, saya tidak pernah sekalipun berbincang dengan Dr. Mahathir tentang hal ini,” tegasnya.

Menurut Ahli Parlimen Gelang Patah itu, keberanian media arus perdana dalam menyebarkan fitnah seumpama itu adalah satu petanda bahawa standard moral dan etika penulisan berita telah jatuh begitu rendah di Malaysia.

Jelas bekas wartawan itu, pegangan asas ‘Opinions are free but facts are sacred’ sudah tidak lagi dipraktikkan, malah penulisan hari ini tidak berprinsip dan hanya berniat untuk memburuk-burukkan individu tanpa sebarang kajian terlebih dahulu.

“Tidak hairanlah pengedaran NST jatuh mendadak dan mereka yang bertanggungjawab di atas kejatuhan ini cuba mengelak dari berdepan dengan umum.

“Terlalu banyak pembohongan mengenai saya dan pemimpin-pemimpin DAP disebar di media sosial. Tetapi media arus perdana perlu diberi pengajaran jika ia sanggup merendahkan martabatnya dengan menjadi penyebar fitnah dan pembohongan,” tegasnya. – Roketkini.com