Berita

The Star minta maaf kerana fitnah Guan Eng

GEORGE TOWN, 28 DIS: Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng hari ini menyambut baik permohonan maaf dari akhbar The Star yang sebelum ini memuatkan artikel berunsur fitnah ke atasnya dan Kerajaan Negeri.

Artikel bertajuk ‘Pilihanraya mengejut di Pulau Pinang?’ yang diterbitkan pada 17 Julai lalu itu memberi kenyataan salah berhubung isu tanah Taman Manggis serta tuduhan tidak berasas mengenai dasar Kerajaan Negeri Pulau Pinang.

Menyedari kesilapan itu, The Star kemudiannya menarik balik artikel berkenaan dan memohon maaf kepada Setiausaha Agung DAP itu pada 25 Disember lepas.

Pegawai Khas Undang-Undang Ketua Menteri, Raja Syarafina Raja Shuib berkata pihaknya berharap agar kejadian yang sama tidak akan berulang lagi, memandangkan tuduhan liar ke atas Guan Eng semakin diperhebat menjelang Pilihan Raya Umum ke-14 yang akan datang.

“Ketua Menteri sedang menjadi sasaran kepada usaha untuk menjatuhkan imej dan reputasi beliau menerusi fitnah dan penipuan agar beliau tidak lagi mendapat sokongan rakyat.

“Bidang kewartawanan di Malaysia seharusnya didasari fakta yang betul, bukannya hanya berpandukan sangkaan-sangkaan tidak tepat dan tidak bertanggungjawab,” tegasnya. – Roketkini.com