Berita

Banjir kilat: Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar mesti bertanggungjawab

KLUANG, 3 JAN: Berikutan satu lagi insiden banjir kilat di Johor Bahru semalam, DAP menggesa agar Kerajaan Negeri Johor segera memecat Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar (IRDA) daripada terus menguruskan projek Sungai Sengget.

Pengerusi DAP Johor, Liew Chin Tong berkata, IRDA juga mesti disaman jika siasatan membuktikan berlaku kecuaian dan perbuatan tidak bertanggungjawab oleh badan tersebut.

“Pekerja-pekerja senior di IRDA dibayar tiga kali ganda daripada pekerja Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) tetapi prestasi mereka nampaknya kurang memuaskan.

“Apa yang berlaku ini adalah contoh yang baik mengapa pertindihan peranan seperti IRDA tidak diperlukan,” katanya dalam satu kenyataan.

Sebelum ini, Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Nur Jazlan Mohamed turut menyuarakan pandangan sama bahawa peranan IRDA dalam menguruskan projek Sungai Sengget yang memakan kos sebanyak RM200 juta itu perlu dinilai semula.

Ia berikutan entiti kerajaan tersebut telah memberi jaminan bahawa projek berkenaan akan mampu mengelakkan kejadian banjir di negeri itu pada 2015.

Biarpun bersetuju dengan Jazlan, Chin Tong yang juga Ahli Parlimen Kulai berkata kerajaan pimpinan Barisan Nasional mesti berhenti menyalahkan pihak lain dan bertanggungjawab ke atas kelemahan pengurusan IRDA.

Hal ini kerana IRDA dipengerusikan bersama oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan Menteri Besar Johor, Khaled Nordin.

“Mesti ada had untuk ‘tangan kiri’ menyalahkan ‘tangan kanan’. ‘Tangan kanan’ dan ‘tangan kiri’ itu datang dari pihak yang sama.

“Seseorang perlu mengatakan bahawa ia tanggungjawabnya serta akan membuat keputusan dengan segera dan tegas.

“Pihak itu adalah Menteri Besar Johor,” katanya. – Roketkini.com