Berita

DAP sertai kempen Yayasan Darul Hijrah bantu mangsa konflik Syria

KUALA LUMPUR, 3 JAN: Penderitaan mangsa perang di Aleppo yang menghadapi musim sejuk tanpa bekalan makanan dan perlindungan yang mencukupi menyentuh hati rakyat negara ini.

Justeru, pertubuhan Malaysians Love Syria dan Yayasan Darul Hijrah menganjurkan program #Walk4Syria pada 1 Januari lalu untuk mengadakan kutipan amal sekitar ibu kota.

Program yang disertai sekitar 40 sukarelawan itu dimulakan dari kawasan Pudu, Pasar Seni, KL Sentral, Masjid Jamek dan berakhir di hadapan Pasaraya Sogo bermula pada jam 10 pagi dan berakhir kira-kira jam 4 petang.

Pelbagai aktiviti dijalankan termasuk acara busking, flashmob, seni persembahan dan sebagainya dengan menyasarkan kutipan sebanyak RM100,000.

“Tangisan rayuan ibu dan anak-anak Aleppo untuk kita semua. Dalam kesejukan salji tanpa makanan dan perlindungan, bukankah satu kezaliman bila kita sedikit pun tidak terpanggil membantu mereka?

“Wanita dan anak-anak ini tidak mengerti apa-apa tentang peperangan proksi dan perebutan geopolitik serantau dan antarabangsa. Mereka bertarung dengan cuaca dan peluru demi survival hidup,” kata satu kenyataan dikeluarkan Yayasan Darul Hijrah.

Turut tidak ketinggalan memberikan sumbangan ialah dari DAP Seputeh diwakili pengerusinya merangkap Naib Pengerusi DAP Kebangsaan, Teresa Kok.

Menurut Teresa, sumbangan sebanyak RM1,200 dari DAP Seputeh merupakan sebagai tanda simpati dan solidariti terhadap mangsa dan pelarian Syria.

“Bukan pilihan mereka untuk jadi begini. Sebahagian mereka terpaksa jadi pelarian, mereka buat begitu sedaya upaya untuk teruskan kehidupan.

“Lebih menyedihkan, pelarian Syria ke negara lain berdepan dengan masalah kerana isu pengganas yang kononnya menyusup bersama mereka,” kata Ahli Parlimen Seputeh itu.

Justeru, demi meringankan bebanan yang dihadapi rakyat dan pelarian Syria, Teresa menyeru seluruh rakyat Malaysia tanpa mengira kaum, agama dan ideologi politik turut sama menjalankan tanggungjawab kemasiaan dengan menghulurkan bantuan.

Program ‘Kafalah Al-Aitam-Syria’

Dalam perkembangan berkaitan, Yayasan Darul Hijrah mengajak rakyat Malaysia menyertai program ‘Kafalah Al-Aitam-Syria’ iaitu program pembiayaan kehidupan anak-anak yatim di Syria.

Pengerusi Kehormat YDH, Datuk Paduka Husam Musa dalam satu kenyataan berkata, kos sara hidup setiap seorang anak-anak yatim di Syria adalah sebanyak AS$50 sebulan meliputi makan minum dan tempat perlindungan.

“Program ini dilaksanakan bersama Omari Orphan Society for Syria yang berpusat di Istanbul. Sebahagian anak yatim ini adalah yatim piatu kerana kedua ibu bapa mereka terbunuh.

“Bila anda mengambil mereka sebagai jagaan anda menerusi pembiayaan ini, anda boleh menganggap anak-anak ini seperti anak anda, walau pun mereka berada jauh.

“Anda boleh memantau perkembangan mereka, kesihatan dan pembelajaran mereka atau melawat mereka bila keadaan mengukuhkan,” katanya ketika dalam perjalanan ke Turki-Syria untuk melawat khemah-khemah pelarian.

Bagi rakyat Malaysia yang mahu menghulurkan sumbangan boleh terus melakukan transaksi di akaun Maybank YAYASAN DARUL HIJRAH 5660 1060 9934. Sebarang pertanyaan boleh terus hubungi 018-3590403 atau emel kepada admin[at]yayasandh.com  – Roketkini.com