Berita

Panjat arca IPOH bukan jenayah, cukup sekadar bagi peringatan, kata Kit Siang

KUALA LUMPUR, 3 JAN: Rakaman aksi ‘berani’ lapan remaja memanjat arca gergasi IPOH yang menular di media sosial baru-baru ini mengundang reaksi bercampur-campur daripada masyarakat.

Bagi Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang, meskipun menyifatkan tindakan itu sebagai membahayakan nyawa, mengenakan tindakan undang-undang terhadap mereka adalah keterlaluan, dan cukup sekadar diberi teguran dan amaran.

“Mereka tidak melakukan sebarang jenayah dan mereka tidak patut didakwa di mahkamah atas sebarang dakwaan jenayah.

“Walaupun secara teknikalnya mereka boleh didakwa mengikut Seksyen 336 Kanun Keseksaan kerana membahayakan nyawa sendiri dan orang lain, yang mana boleh dikenakan denda RM500 dan tiga bulan penjara atau kedua-duanya,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Semalam, sekumpulan lima perempuan dan tiga lelaki berusia antara 20 hingga 24 tahun dibebaskan dengan ikat jamin polis setelah keterangan mereka diambil di Balai Polis Kampung Tawas ekoran rakaman imej yang memuatkan aksi merbahaya mereka tersebar di laman sosial.

“Polis masih meneruskan siasatan dan melengkapkan kertas siasatan sebelum dirujuk kepada pihak atasan (Timbalan Pendakwa Raya) untuk tindakan lanjut,” kata Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Sum Chang Keong dalam kenyataan semalam.

Mengulas lanjut, Kit Siang berkata, Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) sepatutnya memandang positif perkara tersebut dengan mengambil kesempatan itu untuk menjadikan arca gergasi berkenaan sebagai salah satu daripada ikon negeri.

“Mungkin MBI patut perkuatkan struktur arca IPOH berkenaan dan membenarkan mereka dengan keberanian melakukan aksi lasak seumpama itu memanjatnya, tetapi dengan syarat dan kebenaran oleh pihak Majlis.

“Langkah itu akan menjadikan arca IPOH sebagai satu lagi ikon ibu kota negeri Perak,” katanya. – Roketkini.com