Berita

Pakatan Harapan boleh tadbir Negeri Sembilan dengan lebih baik

SEREMBAN, 3 JAN: Pakatan Harapan bersama Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) mampu mentadbir Negeri Sembilan jauh lebih baik daripada Barisan Nasional (BN) jika diberi mandat oleh rakyat pada pilihan raya umum (PRU) akan datang.

Ahli Parlimen Rasah, Teo Kok Seong berkata, ia berdasarkan prestasi cemerlang yang ditunjukkan Pakatan Harapan dalam mentadbir Selangor dan Pulau Pinang sejak lapan tahun yang lalu.

“Kerajaan Pulau Pinang dan Selangor yang diterajui oleh Pakatan Harapan sejak 2008 telah menunjukkan prestasi yang amat baik.

“Selain daripada urus tadbir yang telus dan berintegriti, banyak dasar yang mesra rakyat telah dilaksanakan dengan baik telah menerima sambutan yang baik dan sokongan daripada rakyat di kedua-dua negeri tersebut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dasar tersebut antara lain adalah bekalan air percuma untuk rakyat negeri Selangor dan pelbagai peruntukkan dalam pelbagai aspek khususnya pendidikan di Pulau Pinang, selain belanjawan tambahan saban tahun.

Namun, katanya yang juga Naib Pengerusi DAP Negeri Sembilan, apa yang ditonjolkan BN dan parti-parti komponennya adalah amat berbeza.

Sebagai contoh, katanya, MCA hanya mampu menggunakan taktik menakut-nakutkan kaum Cina dan mengakibatkan parti komponen berteraskan kaum daripada BN itu kehilangan sokongan besar rakyat.

Ia, katanya, termasuk janji bahawa MCA tidak akan menerima sebarang jawatan kabinet sekiranya keputusan PRU yang lalu tidak memuaskan.

“Walaupun keputusan PRU Ke-13 bagi MCA tidak memuaskan, tetapi MCA yang sepatutnya tidak menerima jawatan telah membuat ‘U-Turn’ untuk menerima jawatan di dalam kerajaan.

“Jadi, ini telah menyebabkan rakyat jelata memandang rendah serta hilang kepercayaan terhadap MCA yang tidak berprinsip dan rakan-rakan seperjuangan di dalam BN juga tidak menghormati mereka yang dilihat lebih mementingkan jawatan,” ujarnya.

Tambah memburukkan, kata Kok Seong, selepas Ketua Pemuda MCA, Chong Sin Woon mendapat jawatan Timbalan Menteri Pendidikan, segala peruntukkan yang dijanjikan kerajaan BN untuk disalurkan kepada sekolah Cina tidak ditepati.

“Selepas MCA mendapat beberapa jawatan Menteri dan Timbalan Menteri, mereka pula gagal memastikan peruntukan kepada sekolah Cina yang telah pun dijanjikan oleh kerajaan ketika Bajet 2016 disalurkan kepada semua sekolah pada tahun 2016.

“Sehingga sekarang, semua sekolah masih menanti peruntukan ini, tetapi Menteri, Timbalan Menteri MCA seolah-olahnya terlalu sibuk sehingga terlepas pandang peruntukan yang begitu penting kepada sekolah-sekolah yang terlibat,” ujarnya.

Kok Seong berkata demikian sebagai membalas tohmahan Sin Woon seperti yang dilaporkan lidah rasmi UMNO, Utusan semalam, yang mendakwa kononnya DAP hanya tahu menghasut rakyat untuk membenci kerajaan. – Roketkini.com