Berita

Buktikan Najib berhak guna pesawat kerajaan untuk melancong – Kit Siang

KUALA LUMPUR, 5 JAN: Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Nur Jazlan Mohamed dicabar supaya mendedahkan dokumen bagi menyokong kenyataannya yang mempertahankan penggunaan pesawat milik kerajaan secara peribadi oleh Datuk Seri Najib Razak.

Gesaan itu dibuat Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang ekoran kenyataan Jazlan sebelum ini yang menyatakan bahawa perdana menteri itu mempunyai hak untuk menggunakan aset milik kerajaan terbabit untuk melancong ke Australia bersama keluarganya.

“Saya tidak berapa yakin (dengan kenyataan Jazlan) dan mencabar supaya Nur Jazlan mendedahkan dokumen untuk membuktikan bahawa Najib mempunyai hak sedemikian (guna pesawat kerajaan) atas kapasitinya sebagai perdana menteri.

“Biar seluruh rakyat Malaysia tahu perbelanjaan penuh percutian akhir tahun di Australia oleh perdana menteri, keluarganya atau sesiapapun dalam jet berkenaan, termasuk lokasi dan kos penggunaan membabitkan pesawat berkenaan,” kata Kit Siang dalam satu kenyataan hari ini.

Nur Jazlan seperti yang dilaporkan Malaysiakini Selasa lalu berkata, Najib menggunakan pesawat kerajaan itu kononnya untuk kemudahan dan atas tujuan keselamatan.

Beliau turut mengesahkan penggunaan pesawat itu untuk tujuan peribadi.

“Perdana menteri menggunakan jet itu untuk pergi bercuti. Ini adalah haknya.

“Sama ada ini adalah sensitif dari segi politik atau tidak, bagi saya itu isu yang berasingan. Tetapi beliau berhak untuk menggunakan jet itu sebagai perdana menteri,” katanya dipetik Malaysiakini.

Portal berita tempatan itu sebelum ini turut melaporkan pesawat Airbus 319 milik kerajaan dengan nombor pendaftaran 8M-NAA yang dipercayai dinaiki Najib berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Perth pada 4.56 petang waktu tempatan pada Selalu lalu.

Bagaimanapun, pesawat berkenaan, menurut laman portal berita tersebut, tidak boleh lagi dikesan pada laman sesawang pengesan pesawat, flightaware.com ekoran data itu kini tidak boleh lagi didapati kerana ‘permintaan pemilik/pengendali’. – Roketkini.com