Berita

Lantikan lebih 33 peratus ahli majlis wanita di Pulau Pinang dapat pujian PWDC

GEORGE TOWN, 6 JAN: Perbadanan Pembangunan Wanita Pulau Pinang (PWDC) menyambut baik peningkatan peratus jumlah wanita yang dilantik menjadi ahli majlis di negeri ini tahun ini.

Peningkatan keseluruhan daripada 16.7 peratus kepada 23 peratus berbanding tahun lalu itu, katanya, melibatkan Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) dan Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP).

“Ia adalah peningkatan yang penting. MBBP dengan lapan ahli majlis wanita daripada jumlah keseluruhan 24 kini mempunyai 33 peratus wakil daripada kaum wanita.   

“Ini memberikan komuniti kepelbagaian perwakilan untuk mendengar suara mereka. Kini, Kerajaan Negeri Pulau Pinang mempunyai 11 perwakilan wanita daripada keseluruhan 48 ahli majlis, dari MBPP dan MPSP,” kata PWDC dalam kenyataan, semalam.

PWDC yang ditubuhkan pada November 2011 bermatlamat untuk menjadikan Pulau Pinang sebagai negeri yang berintegriti dengan kesaksamaan peluang diberikan kepada kaum wanita dan lelaki, selain menyentuh mengenai urus tadbir kerajaan yang baik serta keadilan sosial bagi semua kaum.

PWDC dalam pada itu turut mengucapkan tahniah dan syukur kepada semua ahli majlis yang dilantik dan percaya komuniti dan negeri bakal memperoleh faedah daripada lantikan tersebut.

“PWDC telah bersiap sedia untuk menyokong sebarang kerja-kerja ahli majlis tempatan, baik lelaki mahupun wanita, untuk berkhidmat dengan cemerlang dalam tugas mereka.

“Kami juga menanti-nantikan sebuah negeri di mana suara kaum wanita, kanak-kanak dan golongan terpinggir didengari dan diwakili dengan sebaiknya,” katanya.

Ia bukanlah pertama kali kerajaan negeri yang ditadbir Pakatan Harapan menjuarai isu wanita, pada hujung tahun lalu, kempen tahunan ‘Penang Goes Orange’ telah diadakan bertujuan untuk menghentikan keganasan terhadap wanita. – Roketkini.com