Berita

Dasar baru pengambilan pekerja asing bakal akibatkan lambakan PATI

IPOH, 5 JAN: Dasar baru yang diperkenalkan kerajaan UMNO-Barisan Nasional (BN) dengan menggenakan levi pekerja asing sepenuhnya ke atas majikan dilihat bakal memberi kesan negatif ke atas permintaan tenaga buruh di negara ini.

Menurut Ahli Parlimen Batu Gajah, V. Sivakumar, dasar di bawah Komitmen Mandatori Majikan (EMC) itu akan mendorong majikan untuk mengupah pekerja asing tanpa izin (PATI) bagi mengelak kos tambahan, sekali gus mengakibatkan lambakan PATI.

“Apa yang paling membimbangkan saya ialah apabila kos atau beban tambahan itu dipindahkan oleh majikan kepada pengguna.

“Akhirnya yang menjadi mangsa dasar baru ini ialah pengguna. Mereka terpaksa membayar harga yang lebih tinggi untuk barangan yang mereka beli,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sehubungan itu, katanya, beban levi yang dikenakan terhadap majikan akhirnya bakal ditanggung oleh rakyat, sementara pekerja asing dapat menikmati keuntungan tanpa perlu membayar cukai berkenaan.

Beliau berkata demikian mengulas pengumuman Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi seperti dilaporkan Bernama pada Ahad mengenai dasar baru itu yang mula berkuatkuasa serta merta sehari selepas makluman tersebut.

“Bermula dari tempoh ini, majikan tidak lagi dibenarkan untuk membuat potongan gaji pekerja bagi menampung pembayaran levi,” katanya.

Menurut Ahmad Zahid, dasar itu akan meletakkan majikan bertanggungjawab dalam menjaga pekerja bagi mengelak perkara tidak diingini seperti isu pekerja asing lari berlaku.

Dalam pada itu, Sivakumar yang juga Timbalan Pengerusi DAP Perak turut mempersoalkan pengumuman kerajaan yang dilihat tergesa-gesa tanpa sebarang makluman lebih awal dan tempoh penangguhan kepada majikan.

“Saya bukannya mahu membela nasib majikan. Tetapi, saya kurang mengerti rasionalisasi kerajaan berbuat demikian.

“Tambahan lagi, pengumuman dasar baru ini dibuat sehari sebelum tarikh pelaksanaannya. Kerajaan juga tidak memberi sebarang tempoh penangguhan. Adakah ini adil bagi pihak majikan?” soalnya. – Roketkini.com