Berita

Pulau Pinang di tangga kedua daripada 17 destinasi pelancongan terbaik dunia

GEORGE TOWN, 9 JAN: Pulau Pinang di bawah pentadbiran kerajaan Pakatan Harapan kini tersenarai di tangga kedua daripada 17 lokasi terbaik dunia untuk dilawati bagi tahun 2017.

Merujuk kepada laporan CNN.com baru-baru ini, keunikan identiti Pulau Pinang bukan sahaja dikenali sebagai antara destinasi pelancongan domestik, tetapi turut berjaya menambat hati pelancong luar negara.

Mengumumkan perkara itu, Ketua Menteri, Lim Guan Eng berkata, usaha semua pihak termasuk Kerajaan Negeri memperkasakan sektor pelancongan negeri berkenaan telah membuahkan hasil sekaligus dapat menambah sumber ekonomi Pulau Pinang.

“Usaha ini terbukti apabila CNN.com menyenaraikan Pulau Pinang di tangga kedua dari 17 lokasi terbaik (di dunia) yang perlu dilawati bagi tahun 2017,” katanya pada sidang media di Komtar tadi.

Selain mempunyai Tapak Warisan Dunia UNESCO George Town, Ahli Parlimen Bagan itu berkata, negeri itu turut terkenal dengan pelbagai tarikan lain seperti Bukit Bendera dan Kompleks Tun Abdul Razak (Komtar).

“Ini (penyenaraian) merupakan berita baik untuk kita mulakan tahun baru 2017 terutamanya dalam industri pelancongan negeri.

“Begitu juga sektor-sektor lain seperti pelancongan perubatan dan MICE ( mesyuarat, insentif, persidangan dan pameran) yang merupakan sektor penting dan utama,” jelas Setiausaha Agung DAP itu.

Pada masa sama beliau turut menzahirkan ucapan tahniah dan terima kasih kepada Menteri Pelancongan, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz yang mempromosikan pelancongan untuk negara ini, sekaligus menjadikan Pulau Pinang lebih terkenal di mata dunia.

CNN.com dalam laporannya bertarikh 6 Januari lalu menyatakan Pulau Pinang sesuai menjadi destinasi pelancongan kerana keunikan ‘street food’ serta tempat-tempat bersejarah yang menggabungkan seni binaan klasik sejak zaman penjajahan Inggeris dengan adunan budaya tempatan.

Manakala portal berita Free Malaysia Today pada akhir tahun lalu melaporkan bahawa lebih ramai rakyat Malaysia memilih Pulau Pinang sebagai kawasan pelancongan berbanding sebelum ini. – Roketkini.com