Berita

DAP cadang laksana dua pendekatan selesai isu kematian dalam tahanan polis

IPOH, 16 JAN: Kematian dalam tahanan polis bukanlah sesuatu yang asing di negara ini dengan purata sebanyak 17 kematian setiap tahun sejak tahun 2000 sehingga 2014.

Ahli Parlimen Ipoh Barat, M. Kula Segaran berkata, berdasarkan jawapan Kementerian Dalam Negeri pada sesi parlimen lepas, terdapat 269 kematian dalam tahanan dicatatkan sejak 16 tahun lalu.

Dari jumlah itu, 220 kematian disebabkan oleh penyakit yang merosakkan organ, 120 kematian sejak tahun 2000 diputuskan mahkamah tiada keperluan inkues, 14 kematian masih dalam proses inkues manakala 15 kes sedang disiasat.

“Untuk menyelesaikan isu kematian dalam tahanan ini, kita perlu laksanakan dua pendekatan iaitu dengan menukar cara berfikir polis dan menubuhkan Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salahlaku Polis,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurut Naib Pengerusi DAP Kebangsaan itu, statistik kematian dalam tahanan yang dicatatkan setiap tahun menunjukkan wujudnya masalah besar yang perlu diselesaikan segera.

“Kerajaan perlu sedar bahawa setiap nyawa adalah penting dan setiap banduan atau tahanan mempunyai hak yang sama untuk hidup,” kata peguam itu.

Cadangan tersebut dibuat sebagai mengulas kenyataan Hakim Mahkamah Tinggi, S. Nathan Balan minggu lalu berhubung kes kematian pemandu lori P. Chandran pada tahun 2012.

Dalam penghakiman setebal 86 muka surat itu, hakim itu berkata kematian pemandu lori tersebut berlaku kerana polis tidak mematuhi Peraturan-peraturan Lokap 1953.

“Menurut hakim, di sini jelas bahawa polis mestilah menguruskan tahanan yang sakit khususnya jika melibatkan sebarang bentuk masalah mental.

“Dalam kes ini, hakim menyatakan bahawa polis sedar bahawa Chandran sakit dan perlu mengambil ubat.

“Apa yang berlaku sangat menyedihkan dan sukar diterima kerana kematian berlaku disebabkan kegagalan pegawai penyiasat mengikuti peraturan. Pegawai itu perlulah dikenakan tindakan disiplin,” tegas Kula. -Roketkini.com