Berita

Masalah hak asasi manusia di Malaysia, apa UMNO-BN buat?

GEORGE TOWN, 18 JAN: Keyakinan masyarakat antarabangsa dan tempatan terhadap situasi merosot hak asasi manusia di negara ini harus dikembalikan melalui beberapa tindakan serius oleh Kerajaan Persekutuan.

Ahli Parlimen Batu Kawan, Kasthuri Patto berkata, langkah itu termasuk memansuhkan Akta Hasutan, Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (SOSMA) serta undang-undang lain yang menghalang kebebasan bersuara.

“Malaysia, sebagai negara yang mengamalkan sistem demokrasi berparlimen  bertanggungjawab menjamin hak kebebasan bersuara, berhimpun, beragama dan kebebasan rakyat untuk menyertai mana-mana badan atau persatuan seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

“Oleh itu, bagi menjunjung undang-undang tertinggi ini, amat wajar bagi kerajaan untuk memansuhkan sebarang akta yang menggugat hak asasi manusia demi membersihkan imej negara yang tercalar di mata dunia,” katanya kepada Roketkini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai Laporan Human Rights Watch (HRW) 2017 yang dikeluarkan pada Khamis minggu lalu yang mendapati prestasi hak asasi manusia di negara ini “merosot dengan ketara” sepanjang tahun lepas.

Laporan setebal 687 halaman membabitkan lebih 90 negara itu menyentuh antara lain hukuman penjara 18 bulan mengikut Akta Rahsia Rasmi (OSA) yang dihadapi Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli ekoran pendedahan sebahagian laporan audit syarikat milik penuh negara, 1MDB.

Hukuman di bawah akta tersebut dilihat ramai pemerhati sebagai usaha kerajaan UMNO-Barisan Nasional (BN) mengekang kritikan sesetengah pemimpin pembangkang yang lantang menyuarakan kebimbangan mereka mengenai skandal kewangan membabitkan syarikat itu.

Mengulas lanjut, Kasthuri yang juga Setiausaha Publisiti Wanita DAP berkata, pihak pembangkang perlu berkerjasama dengan badan bukan kerajaan (NGO) bagi mengadakan kempen kesedaran mengenai kepentingan hak asasi manusia.

Ia, katanya, bagi memastikan rakyat mengetahui hak-hak mereka seperti yang diperuntukkan Perlembagaan.

“Pembangkang dan NGO boleh mengadakan roadshow bagi membangkitkan kesedaran rakyat mengenai hak kanak-kanak, hak wanita, hak Orang Kelainan Upaya (OKU), hak orang asal, dan sebagainya,” ujarnya.

“Malah, adalah penting untuk kuasa besar untuk mengenakan tindakan ekonomi atau sekatan bantuan kewangan kepada mana-mana negara yg menzalimi rakyatnya,” tambahnya. – Roketkini.com